KUALA LUMPUR - Pas bercadang untuk menyerahkan buku 'Pelaksanaan Hudud di Malaysia: Satu Analisis' terbitan Yayasan Dakwah Ismiah Malaysia (Yadim) kepada rakan dalam gabungan Pakatan Rakyat.

Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, tujuan penyerahan buku itu bagi membolehkan DAP dan PKR mendapat maklumat sebenar mengenai hudud.

"Mungkin boleh serah sebagai satu pandangan rasmi Insya-ALLAH. Jadi kita boleh bagilah, belum putuskan lagi sebab buku baru dapat," katanya ketika ditemui pemberita selepas pelancaran buku itu di Masjid Wilayah Persekutuan, hari ini.

Buku itu dilancarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Mengulas lanjut, Dr Khairuddin yang juga merupakan salah seorang pembentang kertas kerja dalam buku itu berkata, penerbitan buku itu juga membolehkan Pas meluaskan konsep dan memberikan penjelasan dakwah kepada orang bukan Islam yang tidak memahaminya.

"Konsep kita dakwah, beri penjelasan kepada orang bukan Islam kenapa dia tak faham," katanya.

Sementara ditanya adakah dengan penerbitan buku itu, Pas cuba  mempengaruhi undi di parlimen untuk pelaksanaan hukum hudud, Dr Khairuddin berkata, pihaknya tidak berniat sedemikian.

"Kita tak adalah kata hendak pengaruh, cuma kerja kita adalah kempen, dakwah, kempen kita ajak faham Islam, antaranya faham undang-undang syariah Islam.
 
"Kita bawa ke parlimen pinda (Rang Undang-Undang Persendirian Akta) 355 adalah satu dakwah. Kalau berjaya Alhamdulillah.. kalau tak (berjaya) kita cuba lagi, Pas tidak lari kerja dari dakwah," katanya.

Buku tersebut merupakan penerbitan Yadim, yang disunting oleh Yang Dipertuanya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki antaranya memuatkan tulisan tokoh agama yang pakar dalam bidang masing-masing
.