KUALA LUMPUR - Empat parti politik terdiri daripada parti pembangkang dan kerajaan bersatu menunjukkan solidariti mempertahankan Masjid Al-Aqsa dan hak penduduk Palestin dalam perhimpunan Hari Kemarahan berhampiran Kedutaan Amerika Syarikat, semalam.

Umno, Pas, Parti Amanah Negara (Amanah) dan PKR bersatu di bawah satu matlamat mahukan keamanan di bumi Palestin dan hak rakyatnya dikembalikan.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Mohamad Raimi Ab Rahim berkata, kehadiran 47 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan empat parti politik jelas membuktikan bahawa Malaysia tidak mengiktiraf kehadiran Israel di bumi Palestin.

“Dalam pelbagai perbezaan yang berlaku, jelas kita sepakat dalam isu Israel. Kita mampu bergabung untuk sokong rakyat Palestin. Kita tidak akan berpecah.

"Apa yang berlaku dalam himpunan Hari Kemarahan) tidak akan terhenti di sini. Kita mahu seluruh dunia tahu pendirian kita dan kita tetap akan bersama,” katanya selepas menghantar memorandum kepada wakil kedutaan Amerika Syarikat, semalam.

Tegas Raimi, rakyat Malaysia berdiri kuat di belakang penduduk Palestin dan mengutuk sekeras-kerasnya kekejaman Israel yang ternyata telah meragut hak kemanusiaan rakyat negara Islam itu.

Antara pemimpin parti yang hadir dalam himpunan itu ialah Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub, Setiausaha Agungnya, Mohd Anuar Tahir dan Ahli Jawatankuasa Pusat Amanah, Khalid Samad.

Dari PKR, Ketua Angkatan Muda Nik Nazmi Nik Ahmad, manakala Umno diwakili Exco Pemuda, Arman Azhar Abu Hanifah.

Pas pula mengadakan himpunan di hadapan Masjid Jamek Kuala Lumpur.