SHAH ALAM - Bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah menegaskan tidak menjadi masalah baginya meminta penjelasan lanjut kepada Umno berhubung surat tunjuk sebab yang diterimanya baru-baru ini.

Saifuddin dalam surat jawapannya kepada Umno semalam mempersoalkan berhubung kesalahan sebenar beliau dan atas kapasiti apa beliau diberikan surat tunjuk sebab oleh Umno.

Menyifatkan surat tunjuk sebab yang diterimanya itu 'kabur', Saifuddin yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) dan Pengerusi Akademi Belia berkata, adalah penting untuk beliau mengetahui punca sebenar beliau diberikan surat tunjuk sebab sebelum memberikan jawapan kepada parti itu.

"Saya mahu penjelasan dan kalau sudah jelas barulah saya boleh jawab sekarang ini tidak boleh jawab, saya hendak jawab sebagai CEO GMM atau hendak jawab sebagai ahli Umno, lepas itu hendak hantar surat itu kepada SU Umno atau Lembaga Disiplin Umno? Dan ketiga saya hendak jawab saya kena tahu kesalahan saya ikut fasal mana.

"Pada saya surat tunjuk yang diberikan kepada saya kabur, oleh kerana surat itu kabur saya minta penjelasan, dan hal ini saya rasa tidak menjadi masalah kepada saya untuk minta penjelasan," katanya kepada Sinar Online.


Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada 22 September mengesahkan parti itu menghantar surat tunjuk sebab kepada Saifuddin kerana menghadiri pelancaran Pakatan Harapan.

Saifuddin semalam sudah memberikan jawapan menerusi dua pucuk surat, sepucuk daripada peguam Yayasan Pergerakan Kesederhanaan Global (GMM) yang beliau ketuai dan sepucuk lagi atas kapasiti peribadinya.

"Oleh kerana ia menyatakan tindakan disiplin boleh diambil terhadap saya, saya mempersoalkan apakah kesalahan yang saya lakukan dan seksyen mana dalam perlembangaan parti yang saya langgar," katanya menerusi satu kenyataan beliau
.