Polis siasat lelaki dakwa Sultan Melaka
Ahli perniagaan berkenaan ketika bersama Abdul Rani Kulup Abdullah. Gambar berkenaan menjadi viral di laman sosial.
MELAKA - Polis Melaka telah menubuhkan satu pasukan siasatan khas
mengenai seorang lelaki yang mengaku diri sebagai Sultan Melaka.
Siasatan di bawah Akta Hasutan 1948 itu dijalankan berikutan laporan daripada Pejabat Ketua Menteri.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis
Shaikh Abdullah berkata, siasatan akan dijalankan di sekitar Lembah
Klang bagi mendapatkan bukti selain mengesan saksi atau individu
berkaitan kes berkenaan.
"Kita juga sedang mengesan lelaki yang mengaku sebagai Sultan Melaka
itu untuk merakam percakapannya selain penerima-penerima pingat atau
darjah daripada beliau," katanya.
Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, Shaikh Abdul Adzis berkata,
polis telah menerima laporan dibuat Pejabat Ketua Menteri Melaka
terhadap ahli perniagaan berusia 58 tahun itu.
Lelaki itu mendakwa dirinya Sultan Melaka di Balai Polis Ayer Keroh kira-kira jam 10.30 pagi pada 30 Disember lepas.
Awal tahun lepas, lelaki berkenaan pernah dikenakan tahanan reman oleh
Mahkamah Rendah Melaka bagi membantu siasatan kes dirinya sebagai Sultan
Melaka.
Isu ini kembali hangat setelah gambar dia mengadakan majlis pengurniaan
darjah kebesaran kepada beberapa individu dan aktivis menjadi viral di
dalam media sosial.
Antara yang dikurniakan darjah kebesaran membawa gelaran datuk ialah
Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia, Abdul Rani Kulup
Abdullah.
Sementara itu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron berkata,
lelaki berkenaan perlu menghormati perkembangan serta perundangan negeri
dan negara ini dan tidak memburukkan suasana keharmonian sedia ada.
"Isu ini menyentuh urus tadbir sebuah negeri...sebuah negara yang berdaulat dan telah merdeka.
"Perkara ini bukan bahan jenaka dan setiap rakyat perlu mendukung
perlembagaan negara," katanya ketika ditemui pemberita. - Bernama


0 orang berkata:
Post a Comment