Pas akan keluar jika dasar terjejas
Takiyuddin
GOMBAK - Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, Pas
tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang ingin menyentuh dasar
Islam yang diperjuangkan parti itu.
Oleh itu, katanya Pas tidak teragak-agak untuk keluar daripada sesebuah
gabungan parti politik sekiranya dasar parti itu 'disentuh'.
"Saya rasa begini, Pas menegaskan soal dasar tiada kompromi di mana
dasar kita berteraskan Islam tetapi dari strategi, taktik dan pelan
tindakan itu boleh berubah mengikut kesesuaian keadaan.
"Itu yang kita pegang, tetapi apa-apa strategi dan taktik ini mestilah
berteraskan kepada dasar Islam.Sebagai contoh ketika kita dalam PR
dahulu yang mana kita masuk atas dasar kefahaman bahawa kedudukan dasar
kita tetap tidak akan terjejas, sekali dasar kita terjejas Pas akan
pergi," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Taman Melewar
bersempena mesyuarat khas Pas di Kolej Universiti Islam Zulkifli
Muhammad (Kuizm) di Gombak hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menggulas, adakah tujuan Pas mengadakan
mesyuarat khas kerana berasa terancam dengan pengaruh politik luar
ketika ini.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai hasil perbincangan mesyuarat
khas Pas hari ini, Takiyuddin berkata pemerkasaan parti antara topik
perbincangan dalam mesyuarat itu.
"Pemerkasaan parti yang mana kita perlu selaraskan pemikiran dan pemahaman dalam satu-satu pendirian parti.
"Presiden Pas, Datuk Abdul Hadi Awang dia bagi satu konsep umum kenapa
dan apa pendekatan yang perlu diambil dalam situasi sekarang ini dari
sudut syarak.
"Manakala Timbalan Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dari sudut
pelaksanaan, pelan tindakan, strategi dan sebagainya," katanya.
Mesyuarat khas Pas yang diadakan di Kuizm hari ini dihadiri hampir 200
ahli tertinggi Pas, antaranya adalah bagi mendengar taklimat khas
daripada Abdul Hadi Awang berkenaan keadaan Pas sekarang.


0 orang berkata:
Post a Comment