Sultan Johor sumbang RM50 juta kepada JDT
SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini
berkenan memberikan sumbangan sebanyak RM50 juta kepada kelab bola sepak
Johor Darul Takzim (JDT).
Memetik kenyataan daripada laman rasmi Johor Southern Tiger, melaporkan
bahawa keputusan itu, dibuat kerana Sultan Ibrahim gembira dengan
perkembangan bola sepak Johor.
"Tuanku membuat keputusan tersebut kerana baginda amat gembira melihat
sukan bola sepak memainkan peranan yang penting dalam menyatupadukan
Bangsa Johor dan mengharumkan nama Johor di persada dunia.
"Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail (Sultan Ibrahim), selaku pemilik
kelab bola sepak JDT menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Tuanku atas
kurniaan kepada JDT tersebut," petik kenyataan itu.
Sementara itu, dalam perkembangan lain peranan Tunku Ismail, sebagai
Penaung Diraja Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) tetap diteruskan.
"JDT akan beroperasi sebagai kelab sepenuhnya dan akan merangkumi
pasukan JDT, JDT II, JDT III, JDT IV dan segala program pembangunan akar
umbi serta infrastruktur berkaitan. Untuk PBNJ pula, persatuan akan
berfungsi sebagai pengelola untuk segala pertandingan bolasepak di
peringkat negeri dan kebangsaan," petik kenyataan Johor Southern Tiger.
Dalam pada itu, peranan Datuk Ismail Karim dan Kapten Mohd Fahmy Yahya
sebagai Presiden dan Setiausaha Kehormat PBNJ dan JDT masih lagi
dikekalkan.
"Penyeragaman ini adalah kesinambungan daripada penstrukturan semula
yang dimulakan pada tahun 2013 dan mengambil kira penswastaan liga
Malaysia pada masa akan datang. Polisi yang telah ditetapkan sebelum ini
akan dikekalkan dan dilaksanakan secara berterusan," petik kenyataan
itu.


0 orang berkata:
Post a Comment