Adun Balakong ugut buang sampah depan rumah
Eddie
Ng(dua, kiri) melihat longgokan sampah yang dibuang pihak tidak
bertanggungjawab di bahu Jalan Indah 1/6, di sini. Gambar kecil: Keadaan
sampah yang dibuang di bahu Jalan Indah 1/6, di sini.
BALAKONG - “Saya bagi amaran kepada pihak yang buang sampah merata-rata
bahawa saya tidak akan teragak-agak membuang kembali sampah dibuang di
depan kilang atau rumah mereka jika dapat mengenalpasti siapa orangnya,”
kata Adun Balakong, Eddie Ng Tien Chee.
Beliau berkata, sudah tidak boleh berkompromi dengan pihak yang
membuang sampah secara haram di tepi jalan kerana masalah berlarutan
bertahun-tahun lamanya sebelum ini.
Terbaru katanya, Jalan Indah 1/6, berdekatan kawasan perniagaan Cheras
Raya, Batu 11 Cheras dikesan menjadi lubuk pembuangan sampah domestik
dan sisa buangan perindustrian.
Sebelum ini pihak tidak bertanggungjawab menjadikan kawasan bahu jalan
kira-kira 500 meter dari lokasi itu sebagai tempat pembuangan sampah.
Namun selepas pihak industri mengambil inisiatif membersihkan kawasan
dan menanam pokok, pihak terbabit mewujudkan lokasi baru pembuangan
sampah.
“Sekarang pihak terbabit buang sampah di sini pula, saya minta mereka
yang hadapi masalah kerana kontraktor tak angkut sampah dan sebagainya
supaya berjumpa dengan ahli majlis atau ketua kampung, jangan buang
sampah sesuka hati," katanya.
Katanya, amaran dikeluarkan berikutan pihaknya sudah tidak boleh lagi
bertolenrasi dengan pembuang sampah, isu itu perlu diselesaikan kerana
mengundang masalah kepada orang awam.
Pesalah katanya boleh dikompaun RM1,000 sekiranya berjaya ditangkap anggota penguatkuasa.
“Kalau saya dapat tahu siapa buang sampah dan peroleh gambar daripada
sesiapa mengenai perbuatan itu saya akan minta MPKj rujuk dengan JPJ
alamat pemilik, saya akan bertemu dengannya.
“Saya juga tak teragak-agak bawa dan pulangkan sampah dibuang di depan
rumah atau kilang orang yang membuangnya jika saya dapat
maklumat,”katanya.
Beliau berkata, ada mendapat gambar mengenai kegiatan pembuangan sampah
dipercayai dilakukan pengilang di Kampung Baru Balakong, identiti
pengilang itu katanya sedang dikenalpasti.
Menurutnya lagi Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) melaksanakan tugas
membersihkan sampah haram setiap minggu namun tidak sampai beberapa jam
lokasi dipenuhi sampah kembali.
Ahli Majlis MPKj, So Lian Kiong berkata, majlis akan melantik
kontraktor baru di beberapa kawasan namun katanya punca masalah perlu
selesaikan terlebih dahulu.
Beliau bercadang memperkenalkan kaedah kitar semula kerana mendapati kebanyakkan sisa dibuang boleh dikitar semula.
“Banyak cara boleh dilaksanakan...sekarang kita sedang pilih cara
paling sesuai, harap penduduk dan pengilang dapat beri kerjasama bulan
depan,” katanya.
Ketua Kampung Batu 11,Lim Chin Yuan turut berharap dengan tindakan dan
amaran tegas yang dikeluarkan pihak berkenaan tidak mengulangi perbuatan
membuang sampah secara haram di merata tempat.
Beliau turut meminta penduduk yang melihat kegiatan pembuangan sampah
dapat mengambil gambar kenderaan dan menghantar kepadanya untuk tindakan
lanjut.


0 orang berkata:
Post a Comment