Pembangkang perlu ketepikan kepentingan individu
Mohamed Azmin Ali
SABAK BERNAM - Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali
berkata pakatan pembangkang perlu mengetepikan kepentingan individu dan
kepartian sekiranya mahu mengelak pertembungan sesama sendiri pada
pilihan raya kecil Parlimen Sungai Besar nanti.
Beliau berkata pengalaman dan kekalahan pakatan pembangkang pada
pilihan raya negeri Sarawak ke-11 baru-baru ini merupakan satu
pengajaran.
"Saya ajak semua pihak (dalam pakatan pembangkang) untuk meletakkan
gagasan bersama ini dan ketepikan kepentingan individu dan kepartian.
"Saya yakin dengan kewibawaan pimpinan parti-parti politik pembangkang
ia boleh membawa kepada penyelesaian berhubung perkara ini," katanya
kepada pemberita di sini, hari ini.
Mohamed Azmin yang juga Menteri Besar Selangor berkata demikian ketika
diminta mengulas sama ada akan wujud pertembungan sesama pakatan
pembangkang dalam pilihan raya kecil Parlimen Sungai Besar kelak.
Beliau berkata buat masa ini, PKR dan rakan sekutunya belum memutuskan
calon yang layak untuk bertanding menentang calon Barisan Nasional (BN)
dalam pilihan raya kecil itu.
Kekosongan kerusi Parlimen Sungai Besar berikutan penyandangnya Datuk
Noriah Kasnon yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan
Komoditi, terkorban dalam tragedi helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5
Mei lepas. - Bernama


0 orang berkata:
Post a Comment