Followers

click for translator to read my artichel

English French German Spain Italian Dutch

Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified

Keputusan mahkamah terus disambut baik, Pakatan janji mansuh AUKU

October 31, 2011
KUALA LUMPUR, 31 Okt – Pelbagai pihak termasuk pertubuhan pelajar menyambut baik keputusan bersejarah Mahkamah Rayuan hari ini manakala Pakatan Rakyat berkata pihaknya akan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti jika berjaya menguasai Putrajaya.

“Pemuda DAP mengalu-alukan keputusan Mahkamah Rayuan hari ini yang memutuskan bahawa Seksyen 15(5) Akta Universiti dan Kolej Universiti yang membenarkan universiti mengambil tindakan disiplin terhadap pelajarnya adalah tidak sah dan mencabul kebebasan bersuara,”  kata Ketuanya Loke Siew Fook dalam satu kenyataan hari ini.

Kata beliau, keputusan itu adalah satu kemenangan moral kepada kebangkitan gerakan mahasiswa di Malaysia yang telah lama memperjuangkan pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti.

Ahli Parlimen Rasah ini (gambar) menambah, tindakan empat pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia membawa kes mereka ke mahkamah sehingga terhasilnya keputusan hari ini perlu dipuji di atas keberanian dan semangat perjuangan mereka yang cukup tinggi.

“Pemuda DAP juga bersetuju dan menyokong saranan pertubuhan pelajar Gamis yang menuntut supaya Akta Universiti dan Kolej Universiti dimansuhkan serta-merta.

“Sememangnya Akta Universiti dan Kolej Universiti perlu dimansuhkan seperti (Akta Keselamatan Dalam Negeri) ISA dan mengembalikan autonomi dan kebebasan akademik kepada pihak universiti,” kata beliau sambil menambah, undang-undang itu telah lama mengawal pemikiran mahasiswa tempatan dan melenyapkan budaya pemikiran kritis di kampus-kampus universiti awam.

Namun, katanya, hipokrasi politik Pemuda MCA cukup terserlah dalam kenyataan Ketua Pemudanya Datuk Dr Wee Ka Siong yang mengalu-alukan keputusan mahkamah hari ini.

“(Wee) Ka Siong mengatakan Pemuda MCA konsisten dalam pendirian mereka selama ini yang menuntut supaya Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti dibatalkan.

“Saya ingin mengingatkan Ka Siong semasa rang undang-undang untuk meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti dibahaskan di Parlimen pada 2008, tidak ada seorang pun Ahli Parlimen MCA yang memperjuangkan supaya Seksyen 15 dibatalkan,” katanya.

Loke menambah, Pemuda DAP akan terus memperjuangkan pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti dan “kami akan menyokong segala usaha yang dibawa oleh gerakan mahasiswa untuk menghapuskan akta ini.”

“Malah, pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti merupakan salah satu agenda utama Pakatan Rakyat sekiranya kita mendapat mandat rakyat untuk membentuk kerajaan persekutuan selepas pilihan raya umum yang ke-13 nanti,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Lawyers For Liberty juga mengalu-alukan keputusan mahkamah hari ini kerana mematahkan satu lagi rantai yang mengawal gerakan melibatkan kaum pelajar.

“Keputusan itu mengesahkan semula hak bagi penyertaan politik,” kata salah seorang pemimpinnya Fadiah Nadwa Fikri dalam kenyataan berasingan.

Menurut beliau, keputusan itu kena pada masanya ketika isu menyentuh kes siasatan pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Profesor Dr Abdul Aziz Bari masih menjadi perhatian, yang jelas melanggar kebebasan akademik, bersuara dan berucap.

0 orang berkata:

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 PakKaramu |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.