Followers

click for translator to read my artichel

English French German Spain Italian Dutch

Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified

MENYUMBANG KEMATIAN ?

Keluarga Teoh kecewa sikap Putrajaya tidak dakwa tiga pegawai SPRM

October 27, 2011
 
KUALA LUMPUR, 27 Okt Keluarga Teoh Beng Hock mendakwa pentadbiran Najib seolah-olah “memperkudakan” mereka dengan tidak mengambil tindakan ke atas tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meskipun siasatan suruhanjaya diraja mendapati mereka telah menyumbang kepada kematian bekas setiausaha politik itu dua tahun lalu.

Menurut keluarga itu, ketiadaan tindakan susulan di pihak kerajaan menimbulkan keraguan yang serius, bukan sahaja ke atas suruhanjaya diraja malah hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Datuk Seri James Foong Cheng Yuen yang telah bertindak sebagai pengerusinya.

“Apa yang kami tidak faham sehingga sekarang ialah mengapa kerajaan masih beranggapan bahawa laporan suruhanjaya diraja tidak membawa bukti yang secukupnya untuk memulakan tindakan ke atas pegawai-pegawai yang menyalahgunakan kuasa mereka, sebaliknya telah menghabiskan begitu banyak wang awam untuk mengadakan satu lagi pusingan siasatan?” soal keluarga itu dalam satu kenyataan yang diemelkan kepada The Malaysian Insider.

“Maka, kami ingin tahu, atas asas apa, kami, keluarga si mati yang sedang sedih, diminta menerima penemuan-penemuan yang dinyatakan dalam laporan suruhanjaya, bahawa Beng Hock mati kerana tindakan membunuh diri akibat (tindakan) paksaan?” soal keluarga itu.

Keluarga itu (gambar) mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz di Dewan Rakyat Isnin lalu bahawa kerajaan tidak akan mengenakan tindakan pendakwaan ke atas tiga pegawai SPRM meskipun mereka dinamakan dalam laporan yang dikeluarkan tiga bulan lalu sebab tiada sesiapa pun membuat laporan agar dibuat sedemikian.

Kata keluarga itu, mereka ragu-ragu dan sangsi dengan sikap kerajaan dan laporan suruhanjaya itu dan dengan perkembangan hanya membiarkan SPRM mengetuai satu lagi siasatan mereka sendiri ke atas pegawai-pegawainya.

Mereka menekankan bahawa ketiga-tiga pegawai berkenaan telah menggunakan tindakan yang tidak sewajarnya untuk mendapatkan maklumat daripada Beng Hock, yang merupakan satu-satunya saksi ketika siasatan dikendalikan di bangunan Plaza Masalam di Shah Alam — premis mendiang ditemui mati.

Selain itu keluarga berkenaan juga menekankan bahawa suruhanjaya diraja telah menamakan ketiga-tiga pegawai terdiri daripada pegawai penyiasat Mohd Anuar Isamil, yang digambarkan sebagai “pembuli”,  Mohd Ashraf Mohd Yunus sebagai “yang penganiaya” dan bekas pengarah SPRM Selangor Hishammuddin Hashim sebagai “pemimpin yang angkuh”.

“Jika Nazri sendiri tidak menerima penemuan laporan ini, mengapa kami diminta menerima rumusan laporan ini?” katanya.

Justeru kata keluarga itu, mengapa mengenakan sikap pilih kasih ke atas mereka.
“Mengapa kerajaan boleh memilih untuk tidak percaya tetapi kami tidak dibenarkan mempersoal rumusan laporan,” kata mereka lagi.

Malah kata mereka, jika benar perkara berkaitan telah dipermain-mainkan, “maka bukanlah pembentukan suruhanjaya hanya satu bentuk pembaziran wang publik dan memperkudakan keluarga yang sedang sedih ini.”

Isnin lalu, Nazri memberitahu bahawa Jabatan Peguam Negara belum mengambil sebarang tindakan terhadap tiga pegawai SPRM yang dinamakan dalam laporan suruhanjaya diraja kematian Beng Hock kerana tidak ada laporan polis dibuat berhubung perkara itu.

“Sepanjang pengetahuan jabatan ini, belum ada apa-apa laporan polis dibuat oleh mana-mana pihak berhubung penemuan pihak suruhanjaya itu dan tiada kertas siasatan dibuka untuk siasatan lanjut.

“Oleh itu, tidak timbul isu Peguam Negara takut untuk mengambil tindakan kepada pegawai SPRM tersebut,” kata Nazri.

Nazri berkata, berikutan laporan yang dikeluarkan suruhanjaya diraja, SPRM menubuhkan satu pasukan siasatan khas untuk menzahirkan fakta dalam laporan berkenaan berkaitan tiga pegawai SPRM itu.

“Selanjutnya, satu laporan tatatertib akan disediakan sekiranya wujud kesalahan dan pelanggaran peraturan dan prosedur dalam proses siasatan,” katanya.

Laporan mengenai siasatan dalaman terhadap ketiga-tiga pegawai dibentangkan kepada jawatankuasa aduan yang dibentuk di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Jawatankuasa aduan telah minta siasatan lanjut diadakan sebelum laporan dikemukakan kepada jawatankuasa tatatertib bagi membolehkan tindakan diambil terhadap tiga pegawai tersebut yang dinamakan dalam laporan.

“Satu siasatan terperinci akan dilakukan oleh polis berdasarkan oleh laporan jawatankuasa tatatertib dan kemudian dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara.

“Jika ada kes jenayah, kertas siasatan akan dibuka untuk mendakwa mereka yang terlibat di bawah kanun keseksaan, atau undang-undang yang sesuai, selaras budi bicara Peguam Negara mengikut Akta 145 (3) Perlembagaan Persekutuan untuk membuat pertuduhan jenayah atau pendakwaan,” katanya.

0 orang berkata:

free counters
 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 PakKaramu |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.