Datuk Seri Ahmad Husni Hanazlah.
Datuk Seri Ahmad Husni Hanazlah.
 
KUALA LUMPUR - Kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kali kedua kepada rakyat, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah.

"Mengenai syor pemberian BR1M kali kedua, perkara tersebut dalam pertimbangan pihak kerajaan," katanya ketika menjawab pertanyaan Senator Datuk Syed Ibrahim Kader pada persidangan Dewan Negara di sini hari ini.

Pada 7 Jun lepas, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan telah mencadangkan kepada Kabinet supaya kerajaan memberi BR1M kedua kepada rakyat.

Ahmad Husni berkata pemberian BR1M yang lalu telah dimanfaatkan oleh 4.33 juta isi rumah dengan peruntukan kerajaan berjumlah hampir RM2.16 bilion.

"Kejayaan program itu adalah hasil pengukuhan ekonomi negara dan kemampuan mengurus kewangan negara dengan baik dan cekap serta kerajaan sentiasa memastikan penggunaan hasil dibelanja secara berhemah bagi memberi manfaat dan pulangan kepada rakyat," katanya.

Sementara itu, katanya penerima BR1M masih boleh menebus baucar apabila tempoh penebusan telah dilanjutkan sehingga 31 Julai ini.

Baucar tunai itu sebelum ini mempunyai tempoh sah laku sehingga 15 April lepas dan boleh ditunaikan di kaunter-kaunter bank, Bank Simpanan Nasional (BSN), CIMB Bank dan Maybank di seluruh negara. - Bernama