Amuk di JPM
Amuk di JPM
SHAH ALAM - Insiden mengamuk di kompleks Jabatan Perdana Menteri Isnin lalu tidak wajar dikaitkan dengan politik meskipun seolah-olah ia kelihatan berunsurkan tekanan politik, kata penganalisis politik, Prof Madya Dr Mohammad Agus Yusoff.

Sebaliknya, menurut beliau, kejadian mengamuk seumpama itu berlaku ekoran tekanan hidup yang dialami seseorang tanpa mengira fahaman politik individu berkenaan.


“Orang mengamuk ada di mana-mana. Pada saya ia tiada kaitan, kalau kita hendak katakan ia soal politik atau apa… janganlah perkara ini dipolitikkan.


“Hal ini menggambarkan betapa teruk masalah psikiatri di kalangan rakyat yang perlu diambil perhatian oleh kerajaan untuk mengatasinya," kata beliau kepada Sinar Harian.


Pakar Psikiatri Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Prof Dr Mohamad Hussain Habil berpendapat bahawa perbuatan Khalil Afandi Abd Hamid, 47, jarang berlaku ke atas individu yang mempunyai masalah mental seperti merancang perbuatannya terlebih dahulu.


Bagaimanapun menurut Agus lagi, ia berlaku ekoran tekanan yang dihadapi mangsa.


“Itu hasil daripada tekanan yang dia hadapi. Maka itu yang dia buat. Dia sesat, dia tertekan dan dia tiada fahaman politik apa pun," ujar beliau.


Malah, pensyarah dari jurusan sains politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia ini memberi ingatan supaya tidak semua perkara dipolitikkan.


“Ini adalah kes yang terasing, kita terimalah seadanya begitu," ujarnya.


Hussain semalam memberitahu Sinar Harian, Khalil seolah-olah telah merancang perbuatannya menerusi entri blog di jayanegara1234.blogspot.com dan perbuatan seperti itu jarang sekali berlaku ke atas pesakit mental.


“Ini kerana pesakit mental biasanya tidak merancang tindakan mereka, dan jika ia melibatkan serangan atau tindakan yang agresif, sasaran mereka adalah orang yang dekat terutama ahli keluarga," katanya.


Namun berdasarkan tindak tanduk Khalil, beliau tidak menolak kemungkinan individu yang mempunyai pemikiran taksub terhadap sesuatu perkara juga boleh bertindak nekad dan ganas.


“Apa yang saya boleh katakan,  perlakuan ganas dan agresif seumpama itu boleh terjadi disebabkan pelbagai faktor, antaranya pengaruh agama yang ekstrem (songsang), pengaruh politik  atau latar belakang sosiobudaya,” kata Hussain.


Isnin lalu, Khalil yang mengaku dirinya "Imam Mahadi" dan pasangannya yang bersenjatakan dua bilah pedang samurai dan sebilah pisau pemotong daging mengamuk di pekarangan Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya.


Dalam kejadian 2.30 petang itu, Khalil mati ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya selepas terkena tembakan di tangan dan bahagian ari-ari manakala wanita berkenaan, bekas penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, terkena tembakan di paha kanan dan dirawat di hospital sama.


Satu catatan yang dipercayai ditulis sendiri oleh Khalil di laman blognya menyatakan, dia dalam perjuangan untuk menawan negara dan dunia bersama seorang lagi individu yang sedang dikesan pihak polis.  


Bahkan lelaki berkenaan dalam respon beraninya turut membuat pengakuan terbuka yang disertai dengan nama dan nombor kad pengenalan bahawa beliau akan bersama-sama dengan Khalil "hadapi satu pertembungan yang pasti berlaku antara kami dengan Dajal."