PR gesa Pusat tukar tema Hari Kebangsaan
Tema Kemerdekaan Malaysia 2012
 
SHAH ALAM - Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan menasihatkan Pakatan Rakyat (PR) agar tidak melatah dengan tema Hari Kemerdekaan “55 Tahun Merdeka Janji Ditepati” kerana membawa banyak maksud yang baik.

Menurutnya, tema tersebut memenuhi ciri-ciri dan nilai akhlak yang baik untuk rakyat negara ini tanpa mengira agama ataupun bangsa.

“Kenapa pembangkang perlu melatah? Janji ditepati dalah satu nilai akhlak yang baik samaada antara manusia dengan manusia, ketua dengan pekerja, sesama ahli keluarga, sesama rakan, dan juga antara kaum di Malaysia.

“Apatah lagi antara kerajaan dan rakyat, janji mesti ditepati," katanya kepada Sinar Harian Online hari ini.

 
Semalam, Pakatan Rakyat (PR) memberi tempoh seminggu kepada Kerajaan Pusat agar menukar tema Hari Kemerdekaan "55 Tahun Merdeka Janji Ditepati" kerana ia tidak wajar, malah tidak memberi gambaran terbaik berkenaan dengan semangat kemerdekaan.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, tempoh seminggu diberikan kepada kerajaan untuk menukar tema Hari Kemerdekaan kepada yang lebih inklusif.

Justeru itu, Ahmad berkata, pembangkang tak perlu melatah kerana pemilihan tema itu sangat sesuai dengan sifat seorang muslim yang baik dan mengikut ajaran Islam.

"Janji ditepati adalah satu nilai yang universal yang mesti diamalkan oleh semua orang dan sesuai dengan kepelbagaian kaum, agama dan bangsa di Malaysia.

"Jangan mereka (pembangkang) melihat itu dari sudut politik sahaja, mereka perlu melihat dengan sudut lebih meluas," katanya lagi.