Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat
Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat
KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mahu semua pihak bersabar menunggu keputusan yang akan dibuat bagi menentukan nasib Ahli Parlimen Bachok, Nasharuddin Mat Isa (Nasha).

Nik Aziz menegaskan beliau sudah berulang kali menyatakan kes bekas Timbalan Presiden itu perlu diputuskan pada Majlis Syura yang akan diadakan pada 9 September ini.


“Saya akan hadir pada mesyuarat itu jika tidak uzur.  Tidak usah peduli sangat siapa orang itu. Yang penting, Pas mengutamakan mereka yang pernah berjasa kepada agama.


“Jika orang itu didapati pernah berjasa kepada agama, kita hormat dan beri  sokongan kepadanya,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke atas mangsa ragut yang hampir putus tangan, Rohaini Abdullah, di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), di sini, semalam.


Turut hadir, Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman.


Sebelum ini, beberapa pemimpin Pas termasuk Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Haron Din turut mempertahankan Nasha apabila menegaskan agar kes itu dipertimbangkan semula, malah menyatakan hubungan pakatan adalah wajar dan bukan  satu kesalahan.


Terdahulu, beliau merasmikan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Veteran-veteran Pas anjuran Pemuda Pas Kota Bharu di Pejabat Tabung Amanah Tok Kenali, jalan Raja Dewa, di sini.