Sambutan Hari Kemerdekaan & Hari Malaysia
Sambutan Hari Kemerdekaan & Hari Malaysia
SHAH ALAM - Kurang enam jam menjelang detik 12 tengah malam, sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 bakal berlangsung di Dataran Kemerdekaan Shah Alam dan orang ramai bakal menyaksikan kemuncak acaranya iaitu pertunjukan bunga api selama tujuh minit.

Timbalan Pengarah Korporat Majlis Bandar Raya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad berkata, sebelum itu, pengunjung akan dihiburkan dengan persembahan lagu-lagu patriotik dan persembahan band daripada Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).


“Kerajaan Negeri Selangor turut menyediakan persembahan kebudayaan dan kesenian dibawakan oleh Perbadanan Adat-adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat) bagi menyerikan majlis bermula jam 8.30 malam ini.


“Turut mengambil bahagian dalam perbarisan bersejarah ini termasuklah kakitangan agensi-agensi Kerajaan Negeri Selangor,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online.


Tambah beliau, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan memberi ucapan kemerdekaan pada pukul 10 malam manakala Penasihat Ekonomi Negeri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka berucap menjelang detik 12 malam nanti.


“Menariknya, tema kemerdekaan yang digunakan berbeza dengan kerajaan pusat.


“Kami akan menyambut kemerdekaan menggunakan tema yang berbeza iaitu Sebangsa Senegara Sejiwa iaitu tema Pakatan Rakyat (PR) bagi menyambut Hari Kemerdekaan negara di peringkat negeri,” katanya lagi.


Menurutnya lagi, laluan jalan raya di Persiaran Damai, Persiaran Bandaraya ditutup kepada kenderaan bagi memudahkan majlis malam ini dan kawalan lintas dibuat oleh penguasa MBSA sendiri.


Sementara itu, di Kuala Lumpur turut menjadi tumpuan bagi merayakan sambutan ambang kemerdekaan malam ini.


Antaranya Kuala Lumpur City Centre (KLCC) yang bakal memukau orang ramai yang hadir dengan pertunjukan KLCC Lake Symphony Fountain.


Malah malam ini beberapa persembahan daripada artis-artis tempatan turut akan memeriahkan acara yang dijadualkan pada jam 9 malam ini.


Acara kemuncak yang dinanti iaitu pertunjukan bunga api bakal berlatarbelakangkan Menara Berkembar Petronas.


Sambutan itu akan dijalankan di Esplanade, KLCC Park.


Esok, lokasi bersejarah Dataran Merdeka di ibu negara akan menjadi tumpuan perbarisan manakala Perhimpunan Merdeka 55: Janji Ditepati di Stadium Nasional Bukit Jalil.