Gabungan Janji tetap anjur Janji Demokrasi 30 Ogos
Hishamuddin Rais dan Raja Retnam ketika menjawab 
soalan wartawan pada sidang media di Kuala Lumpur.

SHAH ALAM – Polis hari ini menegaskan, perhimpunan Gabungan Janji Demokrasi yang hendak diadakan di Dataran Merdeka malam ini, menjelang sambutan Hari Kemerdekaan esok, bertentangan dengan Akta Perhimpunan Aman 2012.

Ketua Polis Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Zainuddin Ahmad berkata, ia melanggar akta itu kerana gagal memberi pemberitahuan, tidak memperoleh persetujuan daripada pemunya Dataran Merdeka iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan akan menggugat persiapan yang dibuat untuk menyambut Hari Kemerdekaan esok.


Zainuddin memaklumkan pendirian polis itu menerusi satu surat bertarikh hari ini, yang dialamatkan kepda Ahli Jawatankuasa Gabungan Janji Demokrasi, Maria Chin Abdullah.

"Saya ingin memaklumkan bahawa perhimpunan Gabungan Janji Demokrasi yang akan diadakan di Dataran Merdeka pada 30 Ogos (hari ini) antara jam 10 malam dan 12 tengah malam, adalah satu perhimpunan yang bertentangan dengan undang-undang (Akta Perhimpunan Aman)," katanya.


Bagaimanapun surat itu tidak menyebut tindakan bakal diambil pihak polis jika penganjur meneruskan rancangan mereka.