Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub
Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub
SHAH ALAM - Pakatan Rakyat (PR) mahu Kerajaan Pusat mengadakan perbincangan dengan parti-parti politik bagi membincangkan pandangan agar Seksyen 114A Akta Keterangan dipinda.

Sambil menolak tanggapan bahawa pembangkang tidak bersungguh-sungguh, PR berpendapat bahawa  sebagaimana dikehendaki banyak pihak, kerajaan wajar memanggil perbincangan membabitkan semua parti politik.


Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub berkata, pihaknya menggesa agar Kerajaan Pusat dapat “membuka pintu” agar satu rundingan meja bulat dapat diadakan secepat mungkin bagi membincangkan semula Seksyen 114A Akta Keterangan yang muncul kontroversi.


“Berilah peluang kepada kami (PR) untuk berbincang bersama-sama kerajaan mengenai akta ini.


“Apa salahnya jika kita sama-sama berbincang? Saya mencabar agar Datuk Seri Nazri Aziz dapat duduk semeja dan mulakan perbincangan,” katanya yang dihubungi Sinar Harian Online.


Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz berkata, Seksyen 114A Akta Keterangan (Pindaan) 1950 yang dibentangkan di Parlimen pada April lalu akan terus kekal kerana ia memberi kepentingan untuk melindungi rakyat.


Nazri berkata, ini kerana akta tersebut dapat mengurus negara dengan baik selain menentang sebarang cubaan pihak tertentu yang mahu merosakkan negara.


Sehubungan itu, beliau berkata, tiada keperluan untuk mengkaji semula pindaan akta terbabit.


Menurutnya, perkara itu juga tidak mendapat tentangan daripada pihak pembangkang ketika pindaan akta tersebut dibahaskan di Parlimen.


“Jangan sesekali mengatakan kami tidak bersungguh-sungguh berusaha untuk lakukan perubahan, Peluang untuk berbincang pun tidak dapat, bagaimana beliau boleh berkata kami tidak berusaha?” kata Salahuddin.


Beliau sekali lagi menegaskan agar seksyen itu dipinda dengan segera dan kerajaan harus mempunyai sikap bertanggungjawab dan matang bagi menyelesaikan kontroversi terbaru ini.


“Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini mahu berbincang, tetapi, Nazri pula berpendirian sebaliknya.


"Ini jelas menunjukkkan yang pimpinan kerajaan sendiri tidak sehaluan dalam membuat sesuatu keputusan,” ulas beliau.


PKR juga berpendapat pengumuman Nazri semalam menindas rakyat dan menyifatkan Seksyen 114A Akta Keterangan seolah-olah satu undang-undang yang tidak masuk akal.


Naib Presidennya, N. Surendran berkata, kerajaan tidak sensitif kepada hak kebebasan bersuara yang sepatutnya dimiliki oleh rakyat.


“Kerajaan juga melanggar hak asasi rakyat sendiri kerana akta ini membuktikan yang tiada demokrasi dalam negara ini apabila hak rakyat untuk bersuara dinafikan,” katanya.


Beliau yang juga seorang peguan berkata, akta ini menyekat rakyat untuk menyuarakan pendapat mereka melalui medium Internet yang sepatutnya bersifat bebas.


“Jadi saya gesa dan menuntut agar kerajaan memansuhkan akta ini bagi menghormati hak dan kedudukan rakyat Malaysia,” jelasnya.


Dalam laporan Sinar Harian Online pagi tadi, ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Saifuddin Abdullah turut berharap agar pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak agar meminda Seksyen 114A Akta Keterangan yang mencetuskan kebimbangan di kalangan segelintir rakyat negara ini.


Sehubungan itu, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi ini berkata, beliau akan cuba meyakinkan Perdana Menteri agar mengambil langkah supaya dipinda untuk membawa penambahbaikan yang diharapkan.