Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin
Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong
Chik Raja Zainal Abidin
KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bercadang menaikkan bayaran kadar deposit tapak gerai bazar Ramadan pada masa depan bagi menangani isu sindiket penjualan semula tapak perniagaan kepada pihak lain untuk mengaut keuntungan segera.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, kenaikan bayaran kadar deposit itu adalah antara kaedah yang mungkin akan diguna pakai dalam tawaran tapak gerai bazar Ramadan pada masa depan.


Beliau berkata, DBKL akan melakukan siasatan menyeluruh punca wujudnya sindiket penjualan semula tapak bazar Ramadan sama ada ia membabitkan proses undian atau peniaga itu sendiri yang bersikap tamak dan menjualnya pada harga lebih tinggi berbanding harga yang ditawarkan RM400.


"Kami mintalah para peniaga bertanggungjawab dan jangan hanya memikirkan untuk mengaut keuntungan tinggi kerana perbuatan ini tidak berlaku adil kepada golongan peniaga yang benar-benar ingin memperoleh pendapatan secara telus," katanya selepas melakukan tinjauan mesra ke Bazar Ramadan di sekitar Jalan Masjid India di sini, hari ini.

Sempena lawatan itu, beliau turut merasmikan pejabat baru Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) di Jalan Masjid India. Turut hadir Presiden Kimma Datuk Syed Ibrahim Kader. 

Raja Nong Chik berkata demikian bagi mengulas laporan media semalam mengenai wujudnya sindiket yang mengaut keuntungan segera sehingga mencecah jutaan ringgit dengan tawaran penjualan semula petak-petak bazar Ramadan di sekitar Jalan Masjid India dan Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini.


Sehubungan itu, Raja Nong Chik meminta kerjasama orang ramai dan peniaga untuk melaporkan kepada DBKL atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya mempunyai maklumat mengenai sindiket berkenaan.


Tegas beliau, DBKL tidak akan bertolak ansur dengan pemilik asal yang terbukti terlibat dengan mengambil semula tapak bazar dan tidak mengembalikan bayaran deposit mereka.


"Nama peniaga juga akan disenaraihitam kerana melanggar perjanjian aku janji untuk tidak menjual tapak kepada orang lain," katanya.


Sementara itu, beliau berkata DBKL telah mengeluarkan 1,813 notis kesalahan kepada peniaga bazar Ramadan bermula 21 hingga 27 Julai lepas, di sekitar Jalan Masjid India atas pelbagai kesalahan.


Dalam tempoh sama juga, DBKL dengan kerjasama Jabatan Imigresen telah menahan 53 rakyat asing kerana berniaga di bazar Ramadan yang diperuntukkan kepada rakyat tempatan.


Pada majlis itu, Raja Nong Chik turut menyampaikan sumbangan khas RM500 setiap seorang kepada tiga peniaga yang menjadi mangsa kemalangan selepas gerai mereka di Jalan Masjid India, dilanggar sebuah kereta 22 Julai lepas. - Bernama