ATM Bank Rakyat Masjid Tanah
Cawangan Bank Rakyat di Masjid Tanah rosak teruk ekoran kejadian letupan untuk melarikan mesin ATM. 
 
KOTA BHARU - Seorang suspek kes meletupkan Bank Rakyat Cawangan Masjid Tanah, Melaka kelmarin berjaya ditahan oleh polis Kelantan di Pasir Puteh awal hari ini.

Lelaki berusia 25 tahun, yang dipercayai bertugas sebagai kakitangan awam, berjaya diberkas kira-kira jam 2.45 pagi semasa berada di rumahnya di Kampung Merkang.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, suspek akan diserahkan kepada polis Melaka untuk tindakan selanjutnya.                                   

"Dipercayai lelaki terbabit yang berasal dari Kelantan, bekerja berhampiran kawasan bank itu," katanya.

 
Dalam kejadian kelmarin, sekumpulan perompak gagal dalam cubaan mereka melarikan wang dalam sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) selepas cuba meletupkannya.

Dipetik media kelmarin, Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Umar Ali Saifuddin Shaharudin berkata dalam kejadian 3.20 pagi itu, sejenis bahan letupan dipasang pada salah

sebuah mesin ATM di bank tersebut yang menempatkan dua mesin ATM dan satu mesin deposit wang (CDM).


Letupan itu bukan saja mengakibatkan kerosakan teruk pada mesin ATM itu malah menyebabkan cermin bahagian hadapan bank tersebut pecah selain keretakan pada dinding dan siling bangunan itu.