Menjelang PRU 13
Menjelang PRU 13
PUTRAJAYA - Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) akan menjalankan kempen  antipenganjur perhimpunan dan demonstrasi jalanan yang boleh dan telah menjejaskan perniagaan mereka.

Presidennya Mohd Ridzuan Abdullah berkata, para peniaga sentiasa meluahkan perasaan tidak puas hati apabila pihak tertentu menganjurkan perhimpunan yang menjejaskan pendapatan, selain mencetuskan kebimbangan mengenai keselamatan diri dan barangan jualan.

"Ikhlas akan turun padang pada pilihan raya umum akan datang di Kuala Lumpur, kita kempen habis-habisan dan pastikan supaya jangan undi pihak tersebut.

"Mereka sekat periuk nasi kita mengapa kita nak mengundi mereka," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan bantuan payung kepada peniaga kecil dan sederhana di sekitar Putrajaya, di sini hari ini.

Mohd Ridzuan berkata, pemandu teksi dan pemandu lori terutamanya yang menghantar bekalan sayuran dan ikan mengadu tidak dapat memasuki ibu kota akibat penganjuran perhimpunan didalangi pembangkang di ibu negara semalam.

Katanya, Ikhlas sedang meneliti mekanisme tuntutan bagi peniaga dan pemandu teksi yang menanggung kerugian disebabkan perhimpunan itu.

Dalam pada itu, Mohd Ridzuan, berkata Ikhlas akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia(SSM) untuk mendaftarkan lebih 575,000 peniaga kecil di seluruh negara yang belum dilindungi skim perlindungan insurans berkelompok.

Katanya, pertubuhan mensasarkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada jumlah itu dapat didaftarkan dalam masa setahun setengah, sekali gus membantu mereka sekiranya mengalami kerugian dalam perniagaan.

"Kalau tak daftar sayanglah, mereka tidak dapat menikmati skim perlindungan insurans yang disediakan kerajaan, jadi kita akan cari jalan untuk memastikan mereka mendaftar," katanya. - Bernama