BN mungkin gugurkan Subramaniam dari Segamat
February 14, 2013
KUALA LUMPUR, 14 Feb – Perpecahan dalam jentera tempatan boleh
memaksa Barisan Nasional (BN) untuk menggugurkan Timbalan Presiden MIC
Datuk Seri S Subramaniam dari mempertahankan kerusi parlimen Segamat,
kata sumber dalam gabungan tersebut.
The Malaysian Insider difahamkan, isu ini adalah diantara
agenda penting yang dibincangkan dalam perjumpaan tertutup diantara
Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak dan pemimpin Johor pada Selasa,
diadakan untuk membincangkan persiapan Pilihan Raya 2013 – perlu
diadakan selewat-lewatnya pada Jun.
Dalam mesyuarat tersebut, lima kerusi parlimen, termasuk Segamat,
dikenalpasti sebagai kerusi yang berpotensi untuk kalah disebabkan
peratusan besar pengundi Cina di kawasan tersebut.
Semenjak 2008, majoriti masyarakat Cina dilihat sebagai penyokong kuat pembangkang.
“Jentera di Segamat tidak mahukan Subramaniam. Jumlah pengundi India
kecil jadi jentera tempatan mempersoalkan mengapa meletakkan beliau
disitu,” kata sumber yang menghadiri mesyuarat BN di Johor Bahru pada
Selasa.
Pada Pilihan Raya 2008, pengundi Cina menjumlahkan hampir separuh
daripada pengundi Segamat dengan Melayu 41 peratus dan India 11 peratus.
Subramaniam, menteri Kabinet, telah mengalahkan Pang Hok Liong dari
DAP dengan majoriti 2,991, sebahagian besarnya kerana sokongan Melayu,
dimana sebahagian besar daripada undi Cina, seperti di seluruh negara,
beralih secara siknifikan kepada pembangkang.
“Jika Pakatan Rakyat (PR) meletakkan calon Cina dari DAP atau PKR
kali ini, sudah tentu kita akan kalah Segamat,” kata sumber tersebut.
Spekulasi timbul PR yakin mereka boleh menawan Segamat akibat
daripada sentimen anti kerajaan yang kuat dikalangan pengundi Cina jika
mereka meletakkan Datuk Chua Jui Meng dari PKR ataupun veteran DAP Lim
Kit Siang – kini merupakan ahli parlimen Ipoh Timur.
Akhbar The Star, walau bagaimanapun, melaporkan pada Ahad
Subramaniam yakin mempertahankan Segamat berdasarkan rekod sokongan
masyarakat Cina kawasannya – akan terus bersamanya.
“Saya tahu pengundi saya, terutamanya Cina. Saya telah selesaikan
isu-isu yang melibatkan komuniti itu dan mereka tidak mempunyai sebab
untuk tidak menyokong Barisan,” kata Menteri Sumber Manusia itu.
Subramaniam memberitahu akhbar tabloid berbahasa Inggeris itu pada
Selasa Najib telah bersetuju untuk memperuntukkan jumlah kerusi yang
sama kepada MIC seperti pada 2008. Beliau juga berkata dua calon dalam
pilihan raya lalu akan diganti tetapi enggan untuk mendedahkan nama
mereka.
Satu lagi sumber lain yang hadir pada mesyuarat itu berkata Najib
hanya menimbulkan kebimbangan tentang lima “kerusi panas” tetapi tidak
membincangkan mengenai pencalonan Subramaniam.
Empat “kerusi panas” yang lain adalah Kulai, Gelang Patah, Bakri dan Kluang.
Difahamkan pemimpin BN Johor menganggarkan sokongan masyarakat Cina
pada ketika ini berada pada 30 peratus, lebih 10 peratus daripada
anggaran “pesimis” awal, dan menyasarkan untuk meningkatkannya kepada 40
peratus apabila BN negeri memasuki pusingan akhir kempen pilihan raya.
“Dengan 40 peratus sokongan, kita juga boleh menang kerusi yang kita
kalah seperti Bakri dan beberapa kerusi negeri yang kita kalah kepada
DAP,” kata sumber BN.
Pemimpin PR berkata mereka akan menggegarkan kubu BN di Johor dengan
bantuan sokongan Cina tetapi mengakui kepayahan untuk menawan negeri
kerana kesukaran dalam mendapatkan undi Melayu.
Walaupun menyapu Pulau Pinang, Perak, Kedah, Selangor dan Kelantan
dalam Pilihan Raya 2008, pakatan longgar PAS, PKR dan DAP memenangi
hanya satu daripada 26 kerusi parlimen dan enam daripada 56 kerusi Dewan
Undangan Negeri (DUN) di Johor.
Melayu membentuk 60 peratus daripada tiga juta penduduk Johor, yang terletaknya 74 penempatan Felda dalam 21 DUN.
Undi Melayu Felda seringkali dilihat sebagai kekuatan BN dalam
pertempuran pilihan raya, dan juga menjadi kunci utama gabungan tersebut
dapat mempertahankan diri dari Tsunami politik 2008, terutamanya di
Johor.
PR Johor percaya, 35 peratus sokongan dikalangan pengundi Melayu
Johor mencukupi untuk menjatuhkan BN di Johor dalam pilihan raya akan
datang, dengan syarat PR bekerja habis-habisan memastikan bukan Melayu
Johor menolak BN.
0 orang berkata:
Post a Comment