Tiada huru-hara BN kalah, pegang janji Zahid Hamidi
3 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Kenyataan Naib Presiden Umno, Datuk Seri
Dr Ahmad Zahid Hamidi perlu dipegang sebagai suatu jaminan atau janji
dari Umno bahawa mereka akan menerima keputusan rakyat dalam PRU13 dan
tidak membuat huru-hara jika PR menang kelak.
“Seharusnya kenyataan beliau perlu diasaskan kepada jaminan yang kukuh
bahawa BN benar-benar akan menghormati keputusan rakyat,” kata Ketua
Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Riduan Mohd Nor.
Ini, katanya kerana sejarah telah menunjukkan bagaimana kerajaan negeri
yang dimenangi oleh Pakatan Rakyat atau pembangkang telah disabotaj,
diskriminasi serta provokasi bagi memastikan kerajaan tersebut jatuh.
Beliau berkata, rakyat tidak melupakan bagaimana kerajaan Terengganu
telah dikhianati apabila royalti minyak ditarik balik serta tumbang
melalui projek ‘pengundi luar’, kerajaan Kelantan yang disekat dari
menerima royalti serta kerajaan Selangor yang disabotaj dengan bekalan
air yang disekat juga manipulasi media yang melampau terhadap
kepemimpinan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Tambahnya, yang paling tidak dilupakan adalah bagaimana kerajaan Perak
ditumbangkan melalui projek ‘membeli wakil rakyat’ serta menghianati
kuasa Speaker Perak sehingga beliau dimalukan sedemikian rupa apabila
ditarik keluar dari kerusinya dan dikurung dalam bilik.
“Selepas meneliti kesemua kisah negeri-negeri di atas, siapakah yang
tidak menghormati keputusan rakyat serta pencetus huru-hara di negara
ini?” tanya beliau.
Tegasnya, pemimpin PR tidak pernah bercadang mencetuskan suasana huru
hara sekiranya kalah PRU13 kerana sudah 12 kali PAS bersama parti
komponen lainnya mengharungi pilihanraya umum.
Namun, ujarnya pemimpin PR tidak bersedia menerima jika berlakunya penipuan dalam sistem pilihanraya.
Katanya lagi, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) sebagai pengurus sistem ini
perlu memastikan perjalanan sistem pilihanraya berlangsung dengan adil
dan bersih.
Beliau menegaskan, negara akan aman sekiranya sistem pilihanraya
berlangsung dengan adil dan telus sebaliknya penipuan dan penyelewengan
yang akan mencetus suasana huru-hara kerana rakyat bangkit dengan
kemarahan menentang kebejatan.
Tambah beliau, tidak ada manusia yang waras akalnya boleh menerima
hakikat mereka tertipu melalui sistem pilihanraya di negara ini.
Justeru, beliau merasa yakin, bukan sekadar PR, BN juga pasti akan
merasai kemarahan yang sama jika mereka juga ditipu oleh suatu sistem
yang menjerat.
“Saya juga tidak boleh membayangkan bagaimana BN berada di suatu pihak
yang mengharungi pilihanraya dengan sabar, jika sistem undi pos di
mana-mana kawasan tidak memihak kepada mereka kerana terdapat banyak
kecurigaan dalam sistem tersebut, warga asing yang diberikan hak
kerakyatan dan dibenarkan mengundi serta diarahkan mengundi parti lain,
daftar pemilih yang amat meragukan ditemukan di banyak tempat, rasuah
pilihanraya melalui projek segera, kekangan terhadap media, serta
kerahan terhadap institusi kerajaan untuk memenangkan suatu pihak,”
katanya.
harakah/-



0 orang berkata:
Post a Comment