chandra muzaffar Chandra Muzaffar
 
SHAH ALAM – “Tidak nampak apa-apa kelebihan melalui taktik ini, saya tidak tahu sama ada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berniat untuk memaksa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk turut membubarkan Parlimen”.
Demikian reaksi, penganalisis politik, Dr Chandra Muzaffar yang berkata, beliau tidak nampak sebarang kelebihan bakal diperoleh Pakatan Rakyat (PR) Selangor berhubung cadangan Menteri Besarnya, untuk mengumumkan pembubaran Dun Selangor selepas sambutan Chap Goh Meh iaitu 15 hari selepas Tahun Baharu Cina.

Beliau yang juga Presiden Just World Movement (Just) berkata, tarikh penamaan calon dan pilihan raya ditentukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Saya tidak tahu apa motif beliau (Abdul Khalid) melalui tindakan ini. Sekiranya Dun Selangor dibubarkan awal, ini bermakna dalam tempoh 60 hari Selangor perlu adakan pilihan raya.

“Bagaimanapun, sebagai penganalisis politik saya tidak nampak apa kelebihan pada Selangor berhubung pengumuman pembubaran Dun selepas Chap Goh Meh seperti dirancang kerana semua Dun hampir tamat tempoh hayat mereka,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Dalam perkembangan sama, beliau beberapa kali menegaskan bahawa tindakan Menteri Besar Selangor ini tidak memberi sebarang ‘markah lebih’ kepada pakatan.

“Saya tidak rasa bubar Dun awal ini beri kelebihan kepada PR Selangor tapi saya rasa mesti dalam fikiran MB macam ni, saya (Menteri Besar) bubar, PM pun akan bubar.


“Ini (pembubaran Dun) tidak beri markah pada beliau kerana seperti jangkaan umum Perdana Menteri juga dalam tempoh terdekat ini akan berjumpa Yang di-Pertuan Agong bagi mendapatkan nasihat tentang pembubaran Dun dan Parlimen.
“Perdana Menteri perlu dapatkan nasihat Yang di-Pertuan Agong mengikut strategi politik beliau. Oleh sebab, riwayat Parlimen sudah hampir iaitu pada 28 April ini," katanya.

Katanya, walau apa cara sekali pun, Perdana Menteri akan ambil tindakan buat keputusan ikut nasihat Agong tentang pembubaran.

Menurut Chandra, satu lagi perkara yang perlu diambil kira oleh Menteri Besar Selangor ialah beliau perlu mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk membubarkan Dun.

“Keputusan hanya boleh dibuat oleh Sultan, kalau tidak mendapat perkenan Sultan, Menteri Besar tidak boleh bubar. Keputusan ini terletak di bawah bidang kuasa Sultan,” katanya.

Berbeza pula pandangannya dengan Timbalan Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Prof Dr Jayum Jawan yang menyifatkan bahawa pembubaran awal Dun atau menasihati Sultan adalah hak milik mutlak dan di bawah bidang kuasa Menteri Besar.

"Tiada masalah, ikut pertimbangan beliau kerana tindakan ini di bawah bidang kuasa bukan melanggar peraturan. Mungkin pembubaran awal ini memihak kepada PR pada pilihan raya negeri.

"Bagaimanapun, saya tidak rasa ini suatu kelebihan kerana pilihan raya sudah lama tertangguh sama ada sekarang atau lupus secara automatik. Pengundi dah buat keputusan siapa yang akan dipilih," katanya.

Menurut beliau, perkara yang perlu dibimbangkan setiap parti ialah 15 peratus 'floating voters' yang masih menunggu tawaran parti bertanding menjadi penentu kepada mana-mana kawasan, penyokong tegar tidak akan ke mana," katanya.

Beliau berkata demikian, ketika diminta mengulas berhubung pendirian Kerajaan Selangor untuk mengumumkan pembubaran Dun Selangor selepas sambutan Chap Goh Meh nanti meskipun menerima pelbagai reaksi negatif pemimpin PR di negeri lain.

Kelmarin, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, perbincangan akan dibuat bersama pimpinan tertinggi Pas dan DAP sebelum memutuskan tarikh sebenar pembubaran Dun sebelum 22 April depan.