Hishammuddin: Rundingan masih berjalan, Lahad Datu terkawal
14 Februari 2013
KUALA LUMPUR - Keadaan di sekitar Lahad Datu adalah terkawal ketika
Angkatan Tentera Malaysia dan polis masih meneruskan rundingan sejak
malam tadi dengan sekumpulan rakyat asing yang mendarat dengan bot di
persisiran pantai pada Selasa dengan berpakaian ala tentera dan
bersenjata api.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, ada
penduduk di kawasan berdekatan juga telah diarah berpindah untuk jaminan
keselamatan.
"Sehingga kini tiada laporan penduduk dijadikan tebusan. Dianggar jumlah kumpulan itu antara 80 orang hingga 100 orang.
"Motif kehadiran mereka juga tidak dapat didedahkan kerana ia masih
terlalu awal," katanya kepada pemberita selepas hadir pada taklimat
Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) di Bangi, dekat sini hari ini.
Hishammuddin juga meminta semua pihak agar jangan membuat sebarang
spekulasi atau menyebar khabar angin mengenai kejadian pencerobohan itu
kerana boleh menyebabkan gangguan kepada rundingan berkenaan.
"Orang ramai diminta supaya jangan mempercayai sebarang khabar angin
tanpa pengesahahan pihak berkuasa. Tunggu rundingan selesai kerana
penjelasan pihak berkenaan (penceroboh) adalah penting," katanya.
Semalam pihak berkuasa keselamatan berjaya mengepung sekumpulan lelaki
rakyat asing berpakaian ala tentera dan bersenjata api yang menceroboh
masuk ke Lahad Datu dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata
kumpulan itu menceroboh masuk disebabkan masalah yang berlaku di selatan
Filipina.
Menurut sumber polis, lebih 100 anggota kumpulan, disyaki kumpulan
militan dari selatan Filipina, bersenjata lengkap dan berpakaian
celoreng tentera mendarat di persisiran pantai Lahad Datu dengan menaiki
bot pancung.
Beliau berkata, pihak keselamatan telah mengambil tindakan mengepung
kawasan itu dan mengarahkan kumpulan terbabit meletak senjata serta
menyerah diri. - Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment