Kumpulan warga asing bersenjata dikepung
February 14, 2013
KUALA LUMPUR, 14 Feb – Pihak berkuasa keselamatan Berjaya mengesan
sekumpulan lelaki warga asing berpakaian ala tentera dan bersenjata api
menceroboh masuk ke Lahad Datu, Sabah, semalam.
Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar malam ini berkata kumpulan
tersebut menceroboh masuk disebabkan masalah yang berlaku di selatan
Filipina.
Beliau berkata pihak keselamatan telah mengambil tindakan mengepung
kawasan tersebut dan mengarahkan kumpulan tersebut meletak senjata serta
menyerah diri.
“Keadaan ini adalah terkawal dan orang ramai tidak perlu bimbang,”
kata Ismail dalam kenyataan tiga perenggan yang dikeluarkan pada pukul
8.30 malam ini.
Menurut sumber polis, lebih 100 anggota kumpulan, disyaki kumpulan
militan dari selatan Filipina, bersenjata lengkap dan berpakaian
celoreng tentera telah mendarat di persisiran pantai Lahad Datu dengan
menaiki bot pancung. Bagaimanapun setakat 10 malam ini, pihak berkuasa
keselamatan tidak dapat mengesahkan tujuan kumpulan itu sama ada
merancang untuk melakukan aktiviti keganasan di bandar berkenaan.
Pihak berkuasa juga tidak dapat memastikan sama ada kumpulan
berkenaan mempunyai kaitan dengan penahanan tiga lelaki termasuk bekas
tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Yazid Sufaat di sini,
minggu lepas dan kematian seorang rakyat Malaysia Mohd Noor Fikrie Abd
Kahar, 26, yang ditembak oleh pasukan keselamatan Filipina di Davao,
selatan Filipina, 14 Dis lepas.
Sementara itu, Panglima ATM Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin ketika
dihubungi Bernama enggan mengulas lanjut mengenai insiden itu dan hanya
berkata “tunggu kenyataan daripada Ketua Polis Negara”.
Manakala Pengarah Jabatan Petugas Khas dan Anti Pengganas Bukit Aman,
Datuk Mohamad Fuzi Harun, berkata polis Sabah masih menjalankan
siasatan terhadap insiden tersebut.
Beliau berkata adalah terlalu awal untuk mengulas lanjut mengenai perkara itu.
“Saya belum terima apa-apa maklumat...ia di bawah siasatan polis
Sabah. Jika warga asing itu telah ditahan pasukan tentera maka kesemua
mereka akan diserahkan kepada pihak polis untuk disoal siasat,” katanya.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib ketika dihubungi enggan
mengulas lanjut mengenai insiden tersebut dan kemungkinan satu sidang
media akan diadakan esok berhubung perkara itu.
Pada November lepas, seorang pengurus ladang kelapa sawit dan
penolongnya dilaporkan diculik sekumpulan lima lelaki bersenjata dari
sebuah ladang di kawasan pedalaman di bahagian pantai timur Sabah.
Selain insiden itu, pada September 1985, sebuah bank dan pejabat
Malaysia Airlines di Lahad Datu pernah dirompak oleh 26 lelaki dan
seorang wanita, yang bersenjatakan M-16, pelancar grenade dengan
kumpulan itu berpakaian ala tentera.
Dalam rompakan itu 11 orang awam terbunuh manakala seorang pengawal dan tiga orang awam cedera. – Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment