Semua Warganegara Malaysia Yang Berdaftar Sebagai Pengundi, Pulanglah
Untuk Membuang Undi Atau Daftarlah Sebagai Pengundi Pos Sekarang
Dalam masa dua minggu terdekat ini, lebih sejuta warganegara Malaysia
yang kini tinggal di luar negara mampu merubah lanskap demokrasi tanah
air, sama ada dengan mereka kembali ke Malaysia untuk membuang undi atau
dengan mendaftar sebagai pengundi pos.
Ada kemungkinan Parlimen akan dibubarkan di hujung bulan Februari,
dan mengikut undang-undang baru berkaitan pengundi pos untuk rakyat
Malaysia yang berada di luar negara seperti yang ditetapkan Suruhanjaya
Pilihan Raya Malaysia (SPR), hanya mereka yang telah mengisi dan
menghantar borang pendaftaran pengundi pos sebelum atau padi hari
pembubaran akan dibenarkan membuang undi pos bila Pilihanraya Umum ke-13
(PRU-13) berlangsung nanti.
Warga negara Malaysia yang berada di luar negara tetapi masih belum
mendaftar sebagai pengundi pos akan hilang hak mereka untuk memilih jika
proses ini tidak dilengkapkan.
Pihak SPR telah memaklumkan bahawa sehingga jam 8.30 pagi hari Rabu
yang lalu, hanya seramai 1,574 orang telah mendaftar sebagai pengundi
pos, setelah pihak SPR akur dengan tuntutan NGO-NGO seperti Bersih dan
My Overseas Vote, dan parti-parti komponen Pakatan Rakyat.
Rakyat Malaysia di luar negara yang telah sekian lama hilang hak
mereka untuk mengundi kini mesti mengambil kesempatan yang ada untuk
menzahirkan semula prinsip satu warga negara, satu undi (one citizen,
one vote).
Saya ingin menyatakan di sini bahawa saya bersependapat dengan Bersih
dan My Overseas Vote, bahawa perubahan yang dibuat oleh SPR terhadap
sistem undi pos adalah tidak menurut perlembagaan, berdiskriminasi, dan
sembarangan.
Saya perjelaskan di sini:
1) Walaupun keputusan untuk membenarkan warga negara Malaysia yang
berada di luar negara untuk mengundi secara pos dialu-alukan, saya
bantah syarat-syarat yang tidak menurut perlembagaan, seperti pemohon
mestilah berada di Malaysia sekurang-kurangnya 30 hari (terkumpul) dalam
masa lima tahun yang lalu.
2) Mereka yang mampu untuk pulang ke Malaysia untuk membuang undi
digesa untuk melakukan sedemikian, oleh kerana sistem undi pos kelihatan
seperti mudah terjejas. Tetapi mereka yang tidak mampu untuk pulang
perlu mendaftar sebagai pengundi pos dengan mengisi dan menghantar
borang 1B yang boleh dimuat turn dari laman web SPR (www.spr.gov.my).
3) Semua calon-calon PRU juga perlu diberi senarai pengundi pos bagi
kawasan yang mereka bertanding selewat-lewatnya pada penghujung hari
penamaan calon, dan parti-parti politik wajib diberi senarai kesemua
pengundi pos yang tinggal di luar negara mengikut pejabat suruhanjaya
tinggi, kedutaan, atau pejabat konsul.
4) Semua parti-parti politik juga perlu dibenarkan memantau pemberian
kertas-kertas undi pos di pejabat suruhanjaya tinggi, kedutaan, atau
pejabat konsul tersebut.
Saya menekankan di sini yang setiap undi itu penting, dan setiap
warga negara Malaysia perlu melaksanakan hak mereka untuk mengundi –
oleh itu, walaupun sistem ini tidak sempurna, memboikot sistem tersebut
mendatangkan lebih mudarat dari kebaikan.
Buat masa ini, dan sehingga reformasi penuh dilaksanakan terhadap
sistem pilihanraya, warga negara yang berada di Malaysia atau di luar
negara mesti mengikut proses sedia ada agar hak mengundi semua warga
negara tidak terjejas.
Sekali lagi saya tegaskan, buat teman-teman yang berada di luar negara:
Mereka yang tidak dapat pulang, daftarlah sebagai pengundi pos. Masa terhad, dan hari pembubaran Parlimen sudah dekat.
Bila anda sudah mendaftar, maklumkan NGO-NGO seperti My Overseas Vote
dan Bersih supaya undi pos anda akan dipantau dan dipertahankan.
Jika anda masih belum mendaftar sebagai pengundi, dan oleh itu tidak
berhak mendaftar sebagai pengundi pos, sila semak daftar pemilih untuk
memastikan nama anda tiada dalam daftar tersebut. Jika ada, laporkan.
Kepada teman-teman di sini:
a) Jika anda punyai sanak-saudara atau kawan-kawan di luar negara,
ingatkan mereka untuk mendaftar sebagai pengundi pos jika belum lagi
berbuat sedemikian.
b) Maklumkan juga NGO-NGO dan juga calon-calon pilihanraya yang ahli
keluarga atau kawan anda adalah seorang pengundi pos bagi kawasan
parlimen atau DUN tersebut.
Saya ingin melihat semangat warga negara Malaysia yang berada di luar
negara membuatkan satu kejutan kepada SPR dengan mendaftar
beramai-ramai sebagai pengundi pos dalam masa dua minggu ini. Sila
rujukhttp://myoverseasvote.org/ dan http://www.bersih.org untuk arahan
dan nasihat spesifik bagi proses undi pos.
Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai
Naib Presiden KEADILAN
0 orang berkata:
Post a Comment