07 Mei, 2013
Kedudukan Najib Terjejas Menjelang Perhimpunan Agong Umno
PETALING JAYA : Barisan Nasional walaupun kembali berkuasa tetapi merupakan kemenangan terburuk dalam sejarahnya.
Mendapat 133 kerusi parlimen adalah di luar sasaran Pakatan Rakyat
dengan 89 kerusi mencatatkan sedikit peningkatan tetapi juga tidak
mencapat sasaran iaitu menjadi kerajaan puasat, lantas menuduh adanya
penipuan.
Namun dilaporkan golongan perniagaan menyambut baik
kemenangan Barisan Nasional, indeks harga saham di bursa Kuala Lumpur
naik hampir 8 % semalam.
Barisan Nasional mahukan kemenangan mutlak dengan menguasai majoriti dua pertiga yang mereka gagal pada 2008.
Jatuh bangun Barisan Nasional nampaknya kini bergantung kepada Umno
setelah komponen dari orang Cina dan India `menolak’ dalam diam Datuk
Seri Najib Tun Razak.
Malah Pengerusi Barisan Nasional itu mengakui berlaku tsunami politik di
kalangan pengundi Cina. MCA dan Gerakan kalah teruk – lebih teruk
berbanding pilihan raya umum 2008. Seolah-olah orang Cina tidak mahu
lagi kepada BN.
MIC hanya menang 4 kerusi
Nasib yang lebih kurang sama dialami oleh MIC, parti terbesar orang India itu hanya memberikan empat kerusi parlimen kepada BN.
Tetapi orang Melayu juga bukan semuanya menyokong Umno, pengundi bandar
dan separuh elit menolak parti itu dan mengundi PAS dan PKR.
Kekalahan beberapa tokoh Umno seperti Timbalan Menteri Kewangan, Datuk
Awang Adek Husin, Dr Puad Zarkashi, Datuk Ghani Othman dan Datuk Seri
Mohd Ali Rustam menunjukkan Umno tidak semestinya menjadi pilihan
mereka.
Hanya pengundi tradisi Melayu di kawasan tertentu masih menyakini Umno.
Meskipun merampas semula Kedah, tetapi Umno hampir tumbang di Perak dan
Terengganu, BN selamat dengan majoriti yang kecil.
Parti Islam itu merampas tiga kerusi parlimen di Terengganu – Kuala
Terengganu, Dungun dan Kuala Nerus, yang sebelum ini milik Umno.
Pengundi Melayu memang bersimpang siur, otak mereka sukar dibaca, apa yang dizahirkan tidak semestinya itu yang dimahunya.
Najib mungkin bakal mengikut jejak Tun Abdullah Ahmad Badawi yang
dipaksa berundur ekoran kegagalan Barisan Nasional pada pilihan raya
umum 2008. Mantan perdana menteri itu berundur selepas pemilihan parti
pada bulan Mac 2009.
Pembelot akan minta Najib berundur
Umno, gabungan terbesar dalam BN akan mengadakan perhimpunan bagi memilih pucuk pimpinan baru pada Oktober atau November ini.
Barangkali akan muncul pembelot yang meminta Najib berundur sebagaimana yang berlaku kepada Abdullah sebelum ini.
Mungkin juga pembelot ini akan bergabung dengan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mendesak Najib berundur.
Dr Mahathir yang masih mempunyai pengaruh besar dalam Umno pernah
bersuara bahawa Najib mesti menang lebih besar dalam pilihan raya umum
ke 13 iaitu lebih dari 140 kerusi dan jika gagal kedudukan Najib akan
tidak stabil.
Kegagalan paling nyata ialah, apabila Najib gagal merampas semula
Selangor yang beliau laung-laungkannya. Najib sendiri menjadi pengerusi
BN Selangor.
Najib kini memimpin satu gabungan yang gagal mendapat undi popular.
Seolah hala tuju baru yang dibawa untuk negara dan parti ditolak.
Justeru beliau wajar merasa bimbang menjelang perhimpunan agung Umno
kelak kerana nasib malang boleh berlaku tanpa mengira siapa. ~free malaysia today
0 orang berkata:
Post a Comment