Followers

click for translator to read my artichel

English French German Spain Italian Dutch

Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified

Di Gelang Patah, DAP bertarung untuk kikis stigma ‘anti Melayu’

Oleh Mohd Farhan Darwis dan Ida Lim
May 04, 2013
Dayana semasa ditemuduga The Malaysian Insider. — Gambar oleh Saw Siow FengSKUDAI, 4 Mei — Disebalik stigma dan pandangan negatif mengatakan DAP sebagai anti Melayu dan anti Islam, seorang anggota kaum Melayu jentera parti yang dilabel "cauvinis" oleh pemimpin parti lawan berusaha sedaya upaya untuk menghapuskan stigma berkenaan dengan turut berkempen untuk Lim Kit Siang di kerusi Parlimen Gelang Patah. 
 
Dyana Sofea Mohd Daud, anak kelahiran Perak berbangga dapat berkhidmat untuk memastikan kemenangan calon DAP di Gelang Patah sekaligus berusaha mendekati pengundi Melayu yang membentuk 34 peratus saiz pengundi berdaftar.

Ketika ditemubual The Malaysian Insider baru-baru ini, Dyana, seorang peguam di ibu negara berkata peranannya amat penting bagi membantu DAP memasuki kawasan majoriti Melayu terutamanya di kawasan perkampungan, dan juga kawasan Melayu separa bandar.

"Salah satu peranan saya adalah memasuki kawasan Melayu dan menerangkan bahawa DAP sebenarnya ok.

"DAP bukanlah anti Melayu, anti Islam, mereka berjuang untuk apa yang kita percaya," katanya kepada The Malaysian Insider.

"Saya tidak merasakan bahawa saya sahaja satu-satunya Melayu di sini," kata Dyana, 26, yang bekerjasama di Bilik Gerakan DAP Gelang Patah di Taman Ungku Tun Aminah, di sini di samping rakan-rakan kaum Cinanya.

"Kami berkongsi nilai, makanan dan kehidupan yang sama di negara ini. Kenapa kita tidak boleh bekerja bersama-sama," katanya.

Antara strategi yang dilakukan Dyana adalah berkempen ke pasar dan juga mengetuk pintu ke pintu di kawasan perumahan Melayu bagi mempromosikan Pakatan Rakyat (PR) kepada penduduk setempat.

Jelasnya yang turut bercuti tanpa gaji selama sebulan, antara peristiwa yang tidak dapat dilupakannya adalah seorang lelaki berumur menghampirinya ketika berkempen dan berkata:"Nanti kita kuburkan Kit Siang."

Bekas penuntut Universiti Tekonologi MARA (UiTM) itu bagaimanapun mengkaui persepsi DAP sebagai parti Cina masih lagi bermain di fikiran komuniti Melayu.

"Selepas 55 tahun mengalami "brainwash" stigma itu masih ada ... kami sedang berusaha untuk memecahkannya, dan ia sangat sukar.

"Kami perlu menerangkan kepada mereka DAP bukanlah parti Cina hanya kerana majoriti ahlinya adalah masyarakat Cina," katanya.

Dyana juga dilantik sebagai pengacara majlis dalam setiap program anjuran DAP, terutamanya ketika sesi ceramah yang dihadiri masyarakat berbilang kaum.

Beliau akan bertutur menggunakan bahasa Melayu kepada penyokong PR yang hadir, dan kadang-kala diselang selikan dengan perkataan Cina yang dipelajarinya bagi membolehkan beliau berinteraksi dengan pengunjung ceramah tersebut.

Pertama kali menjadi "orang hadapan" di pentas ceramah, Dyana mengakui agak gementar, namun sedikit sebanyak perasaan itu dapat dihakis apabila beliau telah menjadi pengacara majlis di berpuluh program anjuran parti komponen PR itu.

"Kadangkala orang mempersoalkan kenapa speaker menggunakan bahasa Cina, tetapi sebenarnya mereka turut bercakap menggunakan bahasa lain seperti Melayu, Cina, Tamil dan juga Inggeris yang mengandungi maksud sama," kata Dyana yang pernah ditanya soalan berkenaan oleh seorang pengunjung bukan Cina.

Beliau turut mengakui, ibunya adalah orang kuat Umno, begitu juga rakan kongsi firma guaman yang diusahakannya, namun atas sikap profesionalisme, mereka mengetepikan pandangan politik dan boleh bekerjasama.

"Rakan kongsi saya turut membantu kempen Barisan Nasional (BN) dan Umno ... Ibu saya tidak menghalang apa yang saya lakukan, bahkan kadang-kala kami berkongsi pengalaman," katanya lagi.
Exco Sayap Pemuda DAP (DAPSY) itu juga berkata, kepimpinan DAP amat mengambil berat terhadap dirinya, sehinggakan pernah berlaku insiden beliau diserang di laman-laman media siber kerana berkempen untuk DAP, kepimpinan DAP akan pastikan beliau tidak diganggu.

"Kit Siang sendiri pernah telefon saya bertanyakan sama ada saya ok atau tidak ... mereka begitu mengambil berat terhadap saya," katanya.

Selain meletakkan calon Melayu menggunakan lambang Roket dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13), DAP turut meletakkan Dyana di barisan hadapan sebagai sebahagian usaha DAP untuk menarik pengundi kaum Melayu menyokong parti berkenaan, yang masih lagi diragui oleh kebanyakan masyarakat Melayu terutamanya di kawasan pinggir dan luar bandar.

Malah, Dyana juga turut memuat naik video Youtube mengenai dirinya dan juga alasan dan sebab kenapa beliau memilih DAP sebagai parti politiknya.

Penasihat DAP Lim Kit Siang mengetuai gerakan menawan Johor oleh pembangkang dan akan bertanding di kerusi Parlimen Gelang Patah, menentang calon BN Datuk Abdul Ghani Othman yang pernah menjadi menteri besar selama 18 tahun di Johor.

PAS turut meletakkan orang kuat mereka, Salahuddin Ayub di kerusi Parlimen Pulai menentang Datuk Nur Jazlan Mohamed yang memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya 2008.

Salahuddin juga akan turut bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nusajaya.
Lim, 72 dilihat berusaha bersungguh-sungguh untuk menawan Gelang Patah dan meruntuhkan tembok Umno-BN di Johor walaupun menerima tekanan dari masyarakat setempat apabila berlaku insiden beliau dihalau komuniti Melayu ketika 'walk about' yang disiarkan blogger pro Umno.

Johor membentuk 26 kerusi Parlimen dengan 25 daripadanya dikuasai BN, manakala satu milik DAP ketika tsunami politik melanda pada 2008.

Tan Ah Eng daripada MCA telah memenagi kerusi Gelang Patah menewaskan calon PKR dengan majoriti 31,666 undi pada 2004, namun mengecil kepada 8,851 undi pada 2008.

0 orang berkata:

free counters
 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 PakKaramu |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.