Dua ditahan berhubung pergaduhan di Ipoh
IPOH,
5 Mei — Dua lelaki ditahan kerana dipercayai terbabit dalam pergaduhan
melibatkan lebih 300 orang penyokong parti di Station 18, Pengkalan di
sini semalam.
Mereka yang berusia 24 dan 32 tahun ditahan kira-kira pukul 7.30 malam di kawasan Gunung Rapat.
Ketua Polis Perak Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata kedua-duanya telah
dibebaskan atas jaminan polis dan akan disiasat di bawah Seksyen 148
Akta Kanun Keseksaan kerana merusuh.
“Polis menerima panggilan pada pukul 3.40 petang dari orang awam
bahawa berlaku pergaduhan di Station 18, namun apabila kereta peronda
polis tiba, pergaduhan itu telah dilerai oleh orang ramai.
“Namun pada pukul 4.50 petang, antara 300 hingga 400 orang remaja
bermotosikal yang merupakan penyokong sebuah parti politik berpatah
balik dan bertembung dengan penyokong sebuah parti lain di situ,”
katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata remaja bermotosikal itu kemudiannya mewujudkan suasana
tidak tenteram dengan membuat provokasi dan membaling objek kepada
kumpulan pihak lawan.
“Kami menghantar sepasukan lagi polis untuk meleraikan pergaduhan
tersebut sebelum menahan dua suspek yang kita percaya terlibat secara
langsung dalam pergaduhan itu,” katanya.
Mohd Shukri berkata seorang remaja bermotosikal itu cedera di muka
akibat terjatuh dengan sendirinya dan seorang lagi dari parti lawan
cedera dipercayai akibat dihentak dan dipukul dengan objek keras.
“Polis turut menemui kayu di lokasi kejadian yang dipercayai digunakan ketika pergaduhan,” katanya. — Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment