GST dulu ke atau Gaji Minima dulu Najib?
11 Rejab 1434 H. [MOD] -
Oleh Dr Dzulkefly Ahmad
Oleh Dr Dzulkefly Ahmad
Telah berakhir tempoh PM Datuk Seri Najib Razak dan pentadbiran
Umno-Barisan Nasional (UBN) untuk ‘berpantang’ menahan nafsu amarah
mereka untuk ‘menggasak’ rakyat negara ini.
2.
Lepas dia tibai etnik Cina dengan serangan ‘Tsunami Cina’ dan pelbagai
kata kesat hulubalangnya yang dihamburkan ke arah rakyat termasuk
kenyataan kurang cerdik menteri dalam negeri itu, kini giliran menteri
di jabatan perdana menteri pula untuk ‘mendera’ rakyat dengan pengumuman
sistem cukai baru.
3.
Setelah memenangi kembali Putrajaya, dengan pilihanraya yang sangat
dipertikaikan pelbagai pihak kerana sarat dengan penipuan, Najib sudah
tidak segan-silu lagi untuk melakukan apa yang dianggapnya ‘agenda
tertangguhnya’.
4.
Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bakal dilaksanakan oleh kerajaan
Najib dalam tahun 2013 ini dan telah diwar-war oleh Datuk Seri Idris
Jala kononnya akan menjana pendapatan RM27 bilion setahun. Apa tidaknya
kalau mereka sanggup mencekik rakyat dengan kadar 7% cukai!
5.
Najib dan Idris Jala juga perlu terangkan kepada rakyat kerana yang
akan membayar cukai ini adalah rakyat bahkan semua lapisan rakyat
termasuk yang kaya dan juga yang miskin atau berpendapatan rendah.
Apabila mereka membeli barangan atau menggunakan perkhidmatan tersebut
selagi barangan itu bukan dalam kategori ‘sifar cukai’ atau
‘zero-rated’, bermaksud GST tetap dikenakan.
6.
Kadar GST sebanyak 7% adalah sangat tinggi dan ini jelasnya adalah
‘janji Najib yang tidak ditepati’ kerana kadar 4% adalah angka yang
disebut-sebut sejak awal GST diperkenalkan. Mungkin Najib telah kemaruk
kerana baru sedar hutang kerajaan pusat dah terlalu membengkak hampir
55% KDNK kerana dirinya sendiri.
7.
Ataukah Najib mahu sahaja ‘mendera’ rakyat yang tidak mengizinkannya
untuk mendapat 2/3 majoriti di parlimen dan menawan kembali Selangor,
negeri terkaya di Persekutuan Malaysia?
8.
Singapura, yang rakyatnya mempunyai pendapatan per kapita hampir dua
kali ganda dari kita pun memulakan kadar GST mereka pada kadar 3%.
Kerana kos perlaksanaan cukai baru ini adalah sangat tinggi, yang
dianggarkan berbilion RM. Contohnya Australia A$ 4 bilion ketika
memperkenalkan GST di negara itu, maka tekanan kenaikan harga barang dan
perkhidmatan yakni inflasi, adalah tidak dapat dielakkan ekoran sebab
faktor kos permulaan sistem GST.
9.
Singapura, contohnya mengalami inflasi sebanyak 3% untuk selama 3 tahun
akibat dari perlaksanaan GST dan begitu juga di kesemua negara-negara
yang melaksanakannya juga turut mengalami tekanan inflasi untuk beberapa
tahun.
10.
Pakatan Rakyat secara prinsip tidak menolak sistem cukai penggunaan ini
atau ‘consumption tax’ tetapi mahukan beberapa syarat penting mesti
dilaksanakan oleh kerajaan terlebih dahulu. Pakatan Rakyat mahukan
rakyat teramai mempunyai pendapatan yang menasabah bagi mampu menjalani
kehidupan yang lebih bermaruah atau ‘a dignified life’.
11.
Bank Dunia sendiri telah mengisytiharkan bahawa gaji sebenar (real
wage) rakyat Malaysia dengan mengambil kira faktor inflasi, hanya naik
2.8% dalam satu dekad yang lalu.
12.
Gaji minima adalah satu kaedah memecah hambatan atau ‘bottleneck’
peningkatan pendapatan rakyat. Sudah terlalu lama perlaksanaan ‘Gaji
Minima’ ditangguhkan Najib. Ini satu pengkhianatan! Najib masih
berdolak-dalik seperti dulu juga. Memang Najib tak ada tulang belakang
atau ‘spineless’ dalam banyak hal.
13.
Pakatan Rakyat menuntut supaya dengan pembenterasan amalan rasuah,
kronisme dan sesetengah jenis monopoli, oligopoli dan kartel, negara
akan dapat meningkatkan pendapatan dari sumber penjimatan.
14.
Sekaligus kos saraan hidup rakyat akan dapat dikawal dan diperturunkan
serentak mengizinkan rakyat meningkatan pendapatan dan ‘pendapatan boleh
berbelanja’ (disposable income).
15.
Pakatan Rakyat bercadang GST hanya dilaksanakan ketika pedapatan rakyat
adalah pada paras yang lebih munasabah dan tidak seperti hari ini di
mana 60% dari isirumah mempunyai pendapatan kurang dari RM3000 sebulan.
Hari ini hanya 10% sahaja mereka yang dalam pasaran kerja yang dikenakan
cukai pendapatan kerana pendapatan yang rendah-sederhana.
16.
Kerajaan Najib juga mestilah mendidik rakyat tentang konsep dan
perlaksanaan GST ini kerana sememangnya sistem cukai ini rumit dan tidak
mudah difahami. Ada yang menganggap bahawa rakyat atau pengguna akan
dikenakan cukai sebanyak 28% kalau kita mula dengan pengenalan 7%,
kerana cukai yang dibayar pengimpot, pengilang, pemborong dan peruncit
akhirnya akan dibebankan kepada pengguna.
17.
Fahaman ini adalah silap kerana GST adalah menggunakan sistem
nilai-tambah atau ‘Value-Added Tax’ ( VAT) seperti digunakan di beberapa
negara seperti United Kingdom. Rakyat keliru bahkan ada akauntan juga
tidak faham. Rakyat perlu difahamkan dengan betul.
18.
Meskipun GST, sebagai sistem cukai baru yang bakal menggantikan Cukai
Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak 5% itu adalah satu sistem yang
lebih efisien dari segi pungutannya serta dapat mengurangkan ‘pengelakan
cukai’ (tax evasion), namun ianya perlu mengambil kira syarat-syarat
yang lain termasuk menurunkan cukai pendapatan dan cukai korporat supaya
ianya tidak terlalu membebankan rakyat dan lebih menasabah.
19.
Terpaling penting ialah GST ini tidak dilaksanakan selagi sumber-sumber
kebocoran dan pembaziran yang menelan berbilion RM setahun tidak
ditangani.
20.
Tegasnya, Kerajaan Najib jangan paksa dan dera rakyat dengan GST
setelah rakyat ditipu untuk memberikan mereka kelebihan kerusi
diparlimen sekali lagi dalam pilihanraya umum ke-13 yang lalu.
21. PM Najib, kalau anda mahu madunya, jangan jolok sarangnya ya!
Penulis adalah Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS Pusat.
0 orang berkata:
Post a Comment