Jangan bertindak desperado
Khalid (kiri) bersama Mohd Mokhtar ketika taklimat, semalam.
 
JOHOR BAHRU - Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar memberi amaran keras kepada mana-mana pihak yang  berhasrat untuk mencetuskan kekecohan pada hari pengundian, Ahad  ini.

Menurutnya, polis memandang serius tindakan desperado pihak tertentu dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan mengikut lunas perundangan.

“Kita (polis) telah menerima maklumat-maklumat berkenaan ada pihak-pihak yang akan sengaja mengambil tindakan di luar jangkaan kita iaitu menimbulkan kekecohan atau mungkin menimbulkan rasa simpati pengundi.

“Saya ingin memberi amaran kepada mereka ini yang mahu mengambil tindakan desperado yang mungkin mengancam keselamatan masyarakat termasuklah di Johor supaya berfikir dahulu sebelum mengambil apa jua tindakan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau persiapan polis Johor dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), di sini semalam.

Hadir sama, Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff.

Khalid turut memuji persiapan polis Johor dalam menghadapi PRU13 malah menyeru semua pengundi berdaftar supaya menunaikan tanggungjawab tanpa rasa risau, 5 Mei ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata, polis menubuhkan pasukan khas bagi memantau dan menangani kumpulan kongsi gelap, pertubuhan serta kumpulan tertentu yang cuba mewujudkan kekecohan semasa hari mengundi.

Beliau berkata, polis sudah mengenal pasti beberapa kumpulan yang dipercayai merancang kekecohan tersebut.

“Kita sudah ambil keterangan daripada beberapa individu termasuk orang kenamaan (VIP), baru-baru ini bagi membantu siasatan,”katanya pada sidang media di Bukit Aman, semalam.

Beliau berkata, polis memberi amaran kepada individu terbabit supaya tidak meneruskan niat tersebut.

“Kita tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap semua individu yang terlibat. Jangan mempermainkan soal keselamatan dan kesejahteraan negara,” katanya.

Mohd Bakri berkata, beliau memberi jaminan bahawa hari mengundi akan berjalan dalam suasana yang aman.

“Rakyat yang layak mengundi Ahad ini tidak perlu rasa takut.

“Pegawai dan anggota polis yang mencukupi akan ditempatkan di pusat daerah mengundi bagi memastikan keselamatan serta perjalanan proses pengundian dilaksanakan dalam keadaan aman,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Bakri berkata, sebanyak 3079 laporan diterima sejak hari penamaan calon pada 20 April lalu sehingga kelmarin.

Katanya, sebanyak 345 kertas siasatan dibuka dan seramai 101 individu ditahan di mana 20 daripadanya telah dituduh di mahkamah.

“Kesalahan yang banyak dilakukan adalah perbuatan khianat seperti merosakkan bendera dan poster parti  iaitu sebanyak 90 kes dan ceramah tanpa permit sebanyak 86 kes,” katanya.