PR mahu batalkan GST
Anwar ketika berucap pada Himpunan Black505, kelmarin.
 
ALOR SETAR - PR akan membatalkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) jika berjaya membentuk kerajaan melalui petisyen keputusan PRU13 yang akan dikemukakan nanti.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersedia berbuat demikian kerana mendakwa kerajaan BN di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melaksanakan GST dengan kadar terlalu tinggi.

Beliau berkata, pelaksanaan GST secara tidak langsung memberi bebanan kepada rakyat di negara ini, terutama golongan berpendapatan rendah.

“Sistem ini adalah sistem demokratik yang hanya bagi tahu arahan dan tidak menghormati orang lain. Kami akan terus lawan. Bila kita perintah, kita akan batal GST,” katanya pada Himpunan Black505 di Kompleks Pas Kedah Batu 9, di sini, malam kelmarin.

Anwar, yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh mendakwa, rancangan menaikkan kadar GST dari empat kepada tujuh peratus akan memberi kesan kepada kenaikan harga barang seperti baju, kasut dan makanan.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala berkata, Malaysia mampu meraih sumber pendapatan sehingga RM27 bilion setahun jika GST dilaksanakan pada kadar tujuh peratus.

Kadar itu merupakan kadar yang sama dengan Singapura. Dalam pada itu, hanya terdapat dua negara di Asia Tenggara yang masih belum melaksanakan GST, iaitu Malaysia dan Myanmar.