Rafizi akan dibicarakan tuduhan langgar Bafia
23 Mei 2013
PUTRAJAYA - Anggota Parlimen Pandan Mohd Rafizi Ramli akan dibicarakan
di Mahkamah Sesyen bagi tuduhan melanggar Akta Bank dan
Institusi-institusi Kewangan (Bafia) kerana didakwa mendedahkan maklumat
sulit perbankan berkaitan isu Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC).
Ini berikutan keputusan Mahkamah Rayuan hari ini menolak permohonannya untuk mengetepikan tuduhan itu.
Panel tiga anggota yang dipengerusikan Hakim Datuk Seri Mohamed Apandi Ali berkata rayuan itu tidak mempunyai merit.
"Dakwaan bahawa tuduhan itu bercanggah dengan dasar awam tidak mempunyai bukti," katanya.
Apandi juga memerintahkan perbicaraan kes ini dipercepatkan kerana ia melibatkan kepentingan awam. Kes ini akan disebut di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 10 Jun.
Pada pendengaran rayuan itu hari ini, peguam R.Sivarasa, yang
mewakikili Rafizi, berkata tuduhan terhadap anak guamnya itu patut
diketepikan atas alasan ia bercanggah dengan dasar awam.
Katanya pendakwaan terhadap Rafizi, 37, atas tuduhan melanggar Bafia
adalah bersifat menindas dan menyalah guna proses mahkamah, manakala
pendakwa raya pula mempunyai niat jahat apabila mendakwanya.
Apandi memberitahu Sivarasa bahawa pendakwa raya, yang juga Peguam
Negara, diberi kuasa budi bicara di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Katanya walaupun mahkamah itu mempunyai kuasa, termasuk di bawah Kanun
Aturcara Jenayah, untuk mengetepikan tuduhan, tetapi ia mestilah bagi
keadaan khusus dan tertentu sahaja.
Timbalan Pendawka Raya Nahra Dollah tidak memberi sebarang hujah secara
lisan tentang kenyataan panel itu bahawa mereka telah membaca hujah
bertulis yang dikemukakan pihak pendakwa dan Rafizi.
Pada Ogos tahun lepas, Rafizi dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan
mendedahkan empat dokumen mengandungi profil pelanggan Public Bank
berhubung ringkasan imbangan NFC, National Meat and Livestock Sdn Bhd,
Agroscience Industries Sdn Bhd dan pengerusi NFC Datuk Seri Mohamad
Salleh Ismail.
Beliau didakwa mendedahkan dokumen itu kepada perunding media Yusuf
Abdul Alim dan pemberita akhbar 'The Star', Erle Martin Carvalho di ibu
pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Merchant Square, Petaling Jaya
pada 7 Mac tahun lepas.
Pada 10 September tahun lepas, Rafizi, yang juga pengarah strategi PKR, memfailkan permohonan untuk mengetepikan tuduhan itu.
Apabila permohonan itu ditolak Mahkamah Tinggi pada 23 November tahun lepas, beliau mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Rayuan.
Sivarasa memberitahu pemberita pihaknya akan mengemukakan rayuan di Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan itu. - Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment