Sunday, May 19, 2013
PENANGKAPAN ADAM CETUS KEBANGKITAN ANAK MUDA
Kenyataan Media
19 Mei 2013
PENANGKAPAN ADAM CETUS KEBANGKITAN ANAK MUDA
Ekoran penahanan Adam Adli, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) akan
memastikan kebangkitan anak muda berada di kemuncaknya. SAMM menyifatkan
penangkapan Adam sebagai pencetus terbaik memandangkan mood rakyat yang
marah dengan penafian demokrasi melampau oleh kerajaan pemerintah.
Ucapan berapi Adam Adli di pentas anjuran SAMM dan SMM 13 Mei lalu
telah membawa kepada penahanan beliau semalam di Bangsar Utama. Adam
Adli telah dibawa ke Balai Polis Jinjang atas dakwaan akta hasutan dan
kemudian disumbat ke dalam lokap di Lokap Berpusat Kuala Lumpur di
Jinjang. SAMM bersama hampir 100 aktivis rakyat telah berkumpul dan
menunjukkan solidariti terhadap Adam Adli di hadapan lokap yang dihuni
oleh beliau sepanjang malam tadi.
Hari ini, pihak polis dengan pantas mendapatkan perintah reman ke atas
Adam Adli selama 5 hari. Ini satu penindasan terhadap anak muda yang
bersuara bagi pihak rakyat majoriti. Kemarahan Adam terhadap penipuan
PRU-13 telah mempengaruhi ucapan beliau untuk menyeru orang ramai
menyuarakan bantahan secara aman di jalanraya. Seruan Adam Adli telah
disambut dengan gegak gempita oleh hampir 3 ribu hadirin di KLSCAH yang
juga didengari oleh 250 ribu pendengar radio secara live.
Telah berulang kali diungkap dalam kenyataan SAMM sebelum ini bahawa
ucapan berbaur perkauman dan kebencian antara agama yang dilontar oleh
proksi Umno tidak dikenakan sebarang tindakan walaupun ratusan laporan
polis dibuat. Malah pemimpin Umno, proksi Umno dan pemimpin mesra BN ini
juga telah dilindungi dan kebal dari hukuman, menjelaskan lagi betapa
negara ini mempunyai dua set undang-undang.
SAMM juga membidas sikap sombong bongkak Menteri Dalam Negeri yang
baru apabila memilih untuk mula berkasar terhadap rakyat. Sedangkan
ucapan Zahid Hamidi sendiri harus mengundang hasutan apabila mengarahkan
rakyat meninggalkan negara ini sekiranya tidak setuju dengan 'demokrasi
yang mati'.
SAMM yakin dan percaya walaupun Adam Adli ditangkap, ia tidak langsung
melemahkan gerakan yang diseru oleh Adam Adli iaitu gerakan ke
jalanraya, malah tindakan ala-penjajah pihak KDN ini pasti memacu jutaan
rakyat untuk hadir ke Kuala Lumpur dalam masa terdekat. Makin kamu
menekan rakyat, makin menggunung keberanian rakyat.
SAMM memberi peringatan kepada regim, majoriti rakyat mahukan kerajaan
yang baru tetapi malang bagi negara ini apabila kemenangan rakyat
dicuri atas nama demokrasi palsu. Tiba masanya rakyat bangkit untuk
tidak menunggu 5 tahun lagi, kerana penantian 55 tahun itu sudah terlalu
lama, inilah masanya kebangkitan rakyat. Suara Rakyat Suara Keramat!!
Kamu tangkap Adam Adli, akan lahir seribu lagi Adam Adli yang membuat
seruan yang sama - Jalanraya.
Sekian
CHE'GUBARD
Pengasas
Solidariti Anak Muda Malaysia
0 orang berkata:
Post a Comment