Mahkamah tolak rayuan petisyen pilihan raya
PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan di sini hari ini menolak rayuan
berhubung petisyen pilihan raya bagi empat kerusi parlimen dan
membenarkan rayuan bagi satu kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dan tiga
kerusi parlimen.
Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md Raus Sharif, yang mempengerusikan
panel lima anggota terdiri daripada hakim-hakim Tan Sri Abdull Hamid
Embong, Tan Sri Ahmad Maarop, Datuk Hasan Lah dan Datuk Seri Abu Samah
Nordin, menolak rayuan bagi kerusi parlimen Sungai Besar dan Kuala
Selangor di Selangor serta Batu dan Lembah Pantai di Wilayah Persekutuan
Kuala Lumpur.
Mahkamah menolak rayuan oleh dua pengundi, Mat Ismail Nasir (Sungai
Besar) dan Muhammad Rashid Muhammad Kasim (Kuala Selangor), berhubung
keputusan mahkamah pilihan raya, sekali gus mengekalkan kemenangan Datuk
Noriah Kasnon (Sungai Besar) dan Datuk Irmohizam Ibrahim (Kuala
Selangor) daripada Barisan Nasional (BN).
Dalam keputusan sebulat suara, Md Raus berkata mahkamah tidak mempunyai
sebab untuk mengganggu keputusan mahkamah pilihan raya yang telah
menolak petisyen itu.
Mahkamah turut memerintahkan dua perayu, Mat Ismail dan Muhammad
Rashid, supaya membayar sejumlah RM60,000 kepada enam responden, Noriah,
Irmohizam, Suruhanjaya Pilihan Raya (bagi kedua-dua kes) dan dua
pengawai pengurus pilihan raya.
Berhubung rayuan bagi kerusi parlimen Batu dan Lembah Pantai, Md Raus
berkata mahkamah berpandangan petisyen itu kekurangan fakta material dan
tiada kuasa tindakan terhadap responden.
Mahkamah menolak rayuan berhubung petisyen pilihan raya yang difailkan
alon BN Dr Dominic Lau Hoe Chai untuk membatalkan kemenangan Chua Tian
Chang (Tian Chua) daripada PKR dan pengundi parlimen Lembah Pantai
Mohamad Sazali Kamilan untuk membatalkan kemenangan Nurul Izzah Anwar,
juga daripada PKR.
Mahkamah turut memerintahkan empat petisyen pilihan raya, bagi kerusi
parlimen Tapah dan Bagan Datoh serta kerusi DUN Lubok Merbau di Perak
dan kerusi parlimen Ketereh di Kelantan, diremit semula ke mahkamah
pilihan raya untuk mendengar merit kes selepas membenarkan rayuan
petisyen pilihan raya yang difailkan pembangkang.
Dalam pilihan raya umum Mei lepas, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
memenangi kerusi Bagan Datoh; Datuk M. Saravanan (Tapah); Tan Sri Annuar
Musa (Ketereh) dan Datuk Siti Salmah Mat Jusak (Lubok Merbau).
Md Raus berkata mahkamah mengetepikan keputusan yang dibuat mahkamah pilihan raya yang menolak petisyen itu.
Dalam keputusannya, Md Raus menegaskan sesiapa saja boleh memfailkan
petisyen dan pempetisyen tidak perlu hadir untuk memfailkan sendiri
sesuatu petisyen itu. - Bernama


0 orang berkata:
Post a Comment