• Bukti KDN jadi bahan ketawa
1 / 1
SHAH ALAM - Kepimpinan Pas menyifatkan pendedahan yang dibuat oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi mensabitkan orang nombor dua parti itu pengikut Syiah adalah tidak kuat.

Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, bukti yang dikemukakan oleh KDN itu langsung tidak menjejaskan Pas.

“Bukti mereka sangat rapuh malah kini sudah menjadi bahan ketawa orang ramai. Jika itu sahaja alasan yang mampu KDN berikan, mereka patut berasa malu.
“Kalau orang tu selalu pergi Iran, takkanlah kita boleh terus kata dia Syiah? Atau kalau orang itu selalu ke luar negara yang majoritinya Kristian, bagaimana pula?” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Menurut beliau, soal mengagumi seseorang pemimpin juga tidak boleh dijadikan bahan bukti kerana tidak semestinya dengan mengagumi seseorang bermakna akan terikut 100 peratus.

“Ramai yang mengagumi Nelson Mandela, ada juga yang mengagumi Muamar Gadafi, jadi bagaimana kita boleh kata dengan hanya mengagumi seseorang itu kita juga adalah berfahaman sama seperti mereka? “ soalnya lagi.

Beliau juga berpendapat serangan itu lebih kepada bentuk peribadi dan menyerahkan kepada orang nombor dua Pas itu sama ada mahu mengambil tindakan atau tidak.

Kelmarin, Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Dr Abdul Rahim Mohamad Radzi mengemukakan 10 bukti bagi mengesahkan bahawa pemimpin nombor dua Pas cenderung berfahaman Syiah.

Seorang lagi Naib Presiden Pas, Salahudin Ayub pula menyifatkan hujah KDN itu sebagai kebudak-budakan.

“Saya lihat isu ini lebih kepada bermotifkan politik, dalam usaha ke arah membunuh karier seseorang.

“Saya cukup terkilan,  pendedahan ini terlalu longgar bagi mensabitkan seseorang itu berfahaman Syiah atau tidak,” katanya.
Ditanya mengenai tindakan susulan Pas, beliau berkata pihaknya tidak mahu membuang masa untuk melayan isu tersebut.

“Biarlah musuh mahu serang Pas dengan cara begini, kita tidak mahu ikut cara itu,” katanya.