Bahasa
Rafizi: Konflik Azmin-Khalid boleh selesai melalui pemilihan parti, bukan PRK
Pengarah
Strategi PKR, Rafizi Ramli berucap di forum `Serampang Kajang' di
Subang Jaya, malam tadi. – Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua
Zulkefli, 6 Februari, 2014PKR dilihat terus
mempertahankan tindakan meletakkan ketua umum mereka Datuk Seri Anwar
Ibrahim sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri
(DUN) Kajang dengan menafikan pilihan raya kecil itu terpaksa diadakan
untuk meredakan ketegangan di antara Timbalan Presiden PKR, Mohamed
Azmin Ali dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli, berkata sekiranya PKR ingin
menyelesaikan kemelut dalaman di antara Azmin dan Abdul Khalid ia boleh
dilakukan dalam pemilihan PKR yang akan berlangsung pada April.
"Kalau hendak selesaikan kemelut dua pemimpin itu tidak perlu PRK
kerana semasa pemilihan kita boleh biar mereka bertanding dan bergaduh
sesama sendiri," katanya dalam forum bertajuk `Serampang Kajang' di
Subang Jaya, malam tadi,
"Menuduh bahawa ini sebahagian daripada rancangan menyelesaikan konflik
dalaman adalah tidak betul sama sekali, kita hendak tipu siapa?
"Semua orang tahu Azmin dan Abdul Khalid tidak pernah sebulu dalam
mengeluarkan pandangan dari hari pertama lagi," katanya di hadapan
kira-kira 300 hadirin.
Rafizi berkata, keputusan mengadakan PRK di Kajang dibuat selepas
melihat situasi politik yang sudah berubah dan semakin kritikal merujuk
kepada serangan menggunakan sentimen perkauman dan agama dilakukan oleh
Umno dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu di Selangor terutama
dalam isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam sebagai rujukan
kepada Tuhan.
"Biarpun pada mulanya kita ingin adakan selepas pemilihan PKR kerana
kita risau orang ramai akan melihat ia sebagai gerakan politik namun
melihat daripada situasi, kita tidak boleh tunggu.
"Kalau hari ini mereka boleh membuat serbuan ke atas gereja, esok
mungkin pula di kuil dan tidak mustahil kalau kita tidak ubah undi
majoriti, maka mereka melakukan apa sahaja untuk melumpuhkan Pakatan,"
katanya.
Menjawab pertanyaan salah seorang hadirin tentang bagaimana kahadiran
Anwar boleh memberi jaminan PR dapat memperkukuhkan negeri Selangor
seterusnya menawan Putrajaya, ahli Parlimen Pandan itu berkata, tiada
jaminan parti itu boleh melakukan perkara demikian.
"Kalau ada bertanyakan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad beliau akan
menjanjikan perkara itu akan berlaku kerana jelas dirinya seorang
penipu," katanya merujuk kepada mantan perdana menteri yang memecat
Anwar sebagai timbalan perdana menteri pada 1998.
"Tapi kalau tanya saya tidak mungkin kami dapat memberi sebarang
jaminan, namun apa yang saya boleh janji bahawa PR akan cuba melakukan
perubahan lebih baik daripada sekarang memperjuangkan hak kesamaan
kepada setiap rakyat," katanya.
Forum 'Serampang Kajang' membariskan ahli panel seperti bekas
pengerusi Bersih, Datuk Ambiga Sreenavasan; Setiausaha Publisiti DAP,
Tony Pua dan Ahli Jawatankuasa PAS, Dr Dzulkefly Ahmad manakala Timbalan
Speaker DUN Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad memainkan peranan sebagai
moderator.
Kerusi DUN Kajang kosong selepas bekas Ahli Dewan Undangan Negeri
(Adun) dari PKR, Lee Chin Cheh bertindak meletakkan jawatan secara
tiba-tiba bulan lalu.
Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan hari penamaan calon bagi
PRK DUN Kajang pada 11 Mac dan hari mengundi pula pada 23 Mac. - 6
Febuari, 2014.


0 orang berkata:
Post a Comment