Bekalan empangan menyusut
KUALA LUMPUR - Jumlah bekalan takungan air di Empangan Klang Gates yang
disalurkan kepada pengguna sekitar Lembah Klang berkurangan sebanyak 58
peratus berikutan cuaca panas melanda sejak awal Januari lalu.
Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Datuk Seri
Mahdzir Khalid berkata, kadar pengurangan air itu adalah yang tertinggi
pernah dicatatkan sejak ia dibuka pada 1958 dan ini menunjukkan keadaan
yang tidak begitu selamat sekiranya tidak hujan.
Menurutnya, empangan itu menyalurkan air kepada 80,000 akaun pengguna
sekitar Lembah Klang melalui dua loji iaitu Loji Wangsa Maju dan Loji
Bukit Nanas.
“Bekalan air susut hampir 58 peratus kerana cuaca panas. Keadaan ini
akan beri kesan kepada pengguna sekiranya berterusan,” katanya selepas
mengadakan lawatan di empangan berkenaan, semalam.
Beliau berkata, bekalan air dijangka dapat bertahan sehingga 79 hari
sahaja lagi sebelum mencapai tahap kritikal jika cuaca panas berterusan.
Katanya, mengikut rekod ramalan kaji cuaca, keadaan kemarau di sekitar
Lembah Klang dijangka tamat April ini dan situasi tersebut dapat
membantu bagi menambah jumlah bekalan air di empangan ini.
“Kalau masih tiada hujan, kita jangka bekalan air akan bertahan hingga 2
Mei ini sebelum mencapai tahap kritikal dan ini membimbangkan,”
katanya.
Menurutnya, pihaknya akan membawa masalah berkenaan di dalam mesyuarat
bersama beberapa badan lain seperti Syarikat Bekalan Air Selangor
(Syabas), Kerajaan Negeri Selangor, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara
(Span) dan KeTTHA.
Ia bagi membincangkan langkah-langkah dan tindakan yang sewajarnya diambil sekiranya keadaan berterusan.
“Kita akan bincangkan masalah ini bagi mengelakkan pengguna berdepan dengan masalah bekalan air,” katanya.
Menyentuh mengenai penutupan Loji Bukit Tampoi dan Loji Cheras Batu 11,
katanya dianggarkan sebanyak 21,000 akaun pengguna di sekitar Kuala
Langat dan Hulu Langat terpaksa berdepan gangguan bekalan air disebabkan
pencemaran ammonia.
Kata Mahdzir, tempoh bagi loji itu dibuka semula masih belum dapat
diputuskan kerana perlu memberi laluan kepada kerja pembersihan tangki.
“Penduduk akan hadapi gangguan bekalan air buat sementara waktu,”
katanya. Bagaimanapun katanya, Syabas turut menyediakan lori bagi
menyalurkan air ke setiap kawasan yang terjejas.
Beliau turut meminta Lembaga Urus Air Selangor (Luas) dan kerajaan negeri mengambil perhatian menyelesaikan masalah itu.
“Ini antara sebab Kerajaan Persekutuan ingin Loji Langat 2 disegerakan supaya masalah seperti ini tak berlaku,” katanya.


0 orang berkata:
Post a Comment