• Abdul Khalid Ibrahim Abdul Khalid Ibrahim
1 / 1
SHAH ALAM – Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menafikan mempunyai sebarang hubungan dengan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin apabila dikaitkan dengan rundingan penyelesaian hutangnya dengan Bank Islam Malaysia.

Beliau menjelaskan, perkara itu tiada kena mengenakan dengan Tun Daim sebaliknya persetujuan bank berkenaan melalui proses rundingan dengan peguam yang dilantik.


“Kalau orang rasa saya telah dipergunakan, saya minta wartawan tanyalah pula Tun Daim sama ada benar atau tidak beliau ada kena mengena. Saya tiada hubungan dengan beliau.


“Saya ada hubungan dengan bank dan kita guna khidmat peguam. Mengenai pembayaran dengan Bank Islam itu saya tidak boleh komen banyak kerana ia masih dalam rundingan,” katanya.


Ahli Parlimen Kapar G Manivanan, semalam dalam kenyataannya mendesak Abdul Khalid menjelaskan sama ada individu yang dikatakan terlibat dalam rundingan penyelesaian luar mahkamah hutang dengan Bank Islam adalah seorang peguam yang rapat dengan Daim.


Abdul Khalid dilaporkan menanggung hutang semasa beliau menjadi ketua pegawai eksekutif Kumpulan Guthrie Bhd bagi pembelian 20 peratus saham syarikat itu.


Bank Islam Malaysia membawa perkara itu ke mahkamah pada 2007, setahun sebelum Abdul Khalid dinamakan Menteri Besar Selangor.


Mahkamah Rayuan memutuskan pada Mac 2010 bahawa Abdul Khalid tidak perlu membayar RM66.67 juta kepada Bank Islam selepas mengetepikan rumusan penghakiman bank tersebut terhadapnya kerana gagal menyelesaikan kemudahan pinjaman Islam itu.