• Tun Dr Mahathir Mohamad Tun Dr Mahathir Mohamad
1 / 1
JOHOR BAHRU - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak perlu meminda undang-undang, bagi mengenakan hukuman terhadap wakil rakyat yang meletak jawatan tanpa sebab, sebaliknya rakyat perlu menghukum pemimpin berkenaan dengan tidak mengundi mereka.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata rakyat boleh memainkan peranan penting dalam memilih pemimpin yang mereka kehendaki dan mereka juga boleh berbuat sebaliknya.

"Saya berpendapat kalau dia mahu berhenti, dia berhentilah. Kita (Barisan Nasional) boleh lawan. Kita pun kadang-kadang mahu berhenti juga, saya berhenti ketika masih lagi wakil rakyat pada masa itu, bukan ada apa-apa pun dan kalau kita tidak bersetuju, jangan pilih tetapi kalau kita pilih, maknanya kita bersetujulah.

"Tidak perlu (pinda) undang-undang kerana undang-undang bukan boleh mengawal segala-galanya. Yang penting adalah moral manusia dan sekatan ini kena datang dari dalam hati kita. Jangan buat benda yang tidak baik.

"Rakyat kalau tidak suka, bagi dia kalah...ajar dia supaya jangan buat lagi," katanya ketika mengulas tentang cadangan SPR untuk mengkaji keperluan dan meminda undang-undang bagi mengenakan hukuman lebih berat terhadap wakil rakyat yang meletak jawatan tanpa sebab munasabah.

Terdahulu, Dr Mahathir menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa Kekeluargaan dari Perspektif Global di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini hari ini.

SPR sebelum ini dilaporkan banyak menerima cadangan berhubung pindaan itu berikutan tindakan Lee Chin Chen mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri Kajang bagi memberi laluan kepada Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di situ.

SPR berkata pindaan itu boleh menyekat penyakit meletak jawatan tanpa sebab daripada merebak kepada wakil rakyat lain. - Bernama