KEHADIRAN dua lulusan pondok – seorang kini ahli akademik di Universiti Oxford dan seorang lagi mantan menteri luar sebuah negara jiran – pada Ijtimak Pondok anjuran Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia pada 23-24 April ini dijangka mengubah prejudis dan persepsi negatif sesetengah pihak terhadap pelajar dan institusi pondok.

Mereka akan berkongsi pandangan dan pengalaman peribadi bersama ulama pondok, tokoh agama dan akademik serta beberapa mufti jemputan dalam majlis yang dijangka dihadiri 1,200 peserta, tetamu dan hadirin.

Ucaptama di ijtimak yang bertema "Institusi Pondok di Abad 21: Cabaran dan Masa Depan" akan disampaikan oleh Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir, yang serentak akan merasmikan pembukaannya di Dewan Seri Mentaloon.

Beliau dijangka menghurai pelbagai isu penting berkaitan pengurusan, masalah dan cabaran pondok, peranan ulama dan umara, serta usaha mengarusperdanakan institusi pengajian tradisional ini agar ia terus relevan dan dapat menghasilkan lulusan yang marketable. Penghormatan ini diberikan kerana Mukhriz bukan sahaja memberi sokongan yang kuat kepada penganjuran ijtimak ini malah beliau adalah pemimpin negeri paling proaktif dan terkedepan membantu pondok dan warganya.

Turut terbabit adalah beberapa ulama luar negara, khususnya Indonesia dan Thailand, yang akan berkongsi pengalaman memimpin pondok dan pemerhatian mereka berkaitan cabaran dan masa depan institusi pondok di negara masing-masing.

Satu forum perdana khas akan diadakan yang membariskan beberapa pendakwah terkenal membincangkan tajuk “Aku Terror Bukan Terroris”. Antara yang sudah bersetuju adalah Ustaz Kazim Elias dan Ustaz Badlishah Alauddin.

Sempena ijtimak ini, Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, yang juga Penaung Yayasan Pondok, akan menyampaikan beberapa anugerah khas semasa merasmikan majlis penutupan pada 24 April. Calon-calon yang telah disenarai pendek akan dipilih oleh Lembaga Mustasyar Yayasan Pondok untuk menerima Anugerah Warga Emas Mithali dan Pelajar Pondok Cemerlang.

Beberapa pondok akan dipilih untuk menerima Anugerah Kasih yang berupa bantuan langsung daripada Perdana Menteri berdasarkan sumbangan, peranan dan keperluan. PM juga akan melancarkan satu siri televisyen baharu bertajuk "Bicara Pondok" yang dihasilkan oleh Yayasan Pondok. Siri 13 minggu ini akan disiarkan di Astro mulai Mei ini.

Persiapan untuk ijtimak berjalan lancar. Menghadiri mesyuarat penyelarasan majlis antara Yayasan Pondok dengan wakil-wakil Pejabat Menteri Besar Kedah, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Majlis Agama dan Pejabat Mufti Negeri, Universiti Utara Malaysia dan Kolej Universiti Insaniah (Kuin), Polis Diraja Malaysia, Rela, Tabung Haji, Majlis Perbandaran Alor Setar, Tenaga Nasional, jabatan dan agensi kerajaan serta pihak media di Wisma Darul Aman pada Selasa lalu, saya cukup teruja dengan sokongan dan kerjasama yang diberikan.

Turut memberi komitmen padu ialah Sahibul Samahah Mufti Kedah Datuk  Sheikh Muhamad Baderudin Ahmad, yang menyokong penganjuran majlis ini malah bersetuju menjadi ahli panel dalam satu sesi perbincangan. Selain saya sendiri yang mempengerusikan mesyuarat itu, Yayasan Pondok diwakili Mustasyar Datuk Sheikh Hasbullah Abdul Halim, Pengarah Eksekutif Juhaidi Yean Abdullah dan Penyelaras Yayasan Pondok Cawangan Kedah Tok Guru Ustaz Sobri Othman.

Satu pre-council membabitkan ulama, mudir dan guru pondok akan diadakan di Kuin pada 27 Februari. Tujuannya ialah untuk mendapat pandangan, maklum balas dan konsensus dalam kalangan pemimpin dan pentadbir pondok yang berguna untuk Yayasan Pondok menjayakan ijtimak ini nanti.

Saya menyeru warga pondok di seluruh negara untuk sama-sama menjayakan ijtimak ini. Jemputan sedang dikeluarkan. Namun jika ada pondok yang lambat atau tidak menerima jemputan kerana masalah alamat pondok dan emel, atau nombor telefon atau faks yang salah, silalah hubungi pihak urus setia di talian 03-22016711 atau layari laman sesawang www.pondok1msia.org.my.

Rakyat Kedah khususnya di Alor Setar dan kawasan sekitar dijemput menghadiri ijtimak selama dua hari dan forum perdana pada malam 23 April ini.