• Lantikan MB Selangor bukan keputusan PKR
1 / 1
SHAH ALAM - Sebarang keputusan mengenai lantikan menjadi Menteri Besar (MB) adalah keputusan bersama antara PR, bukannya di buat dengan keputusan satu parti dalam pakatan.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata, dalam hal lantikan MB Selangor misalnya, perbincangan dan kesepakatan perlu diperoleh terlebih dahulu daripada rakan pakatan sebelum ia dilakukan.

Menurutnya, jika keputusan telah diperoleh, rakan pakatan perlu hormati dan pertahankan keputusan tersebut kerana ia telah menjadi budaya dalam PR.

“Justeru, jangan ada pihak cuba pertikai isu ini. Cara kita menguruskan politik pakatan berbeza dengan BN.

“Dalam PR ada banyak pendapat perlu diambil dan akan dibincangkan sebelum dipersetujui,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan yang mengatakan PKR tamak untuk menduduki kerusi MB Selangor yang sepatutnya diberi kepada Pas.

Beliau berkata, keputusan untuk mengadakan PRK Dun Kajang memang  strategi PKR, tetapi parti telah maklumkan kepada rakan pakatan lain.

“Tetapi dalam membuat keputusan melantik MB, itu keputusan pakatan. PKR tidak sewenang-wenangnya melantik pemimpinnya menerajui jawatan itu.

“Sebenarnya, kenyataan pihak terbabit mencampuri keputusan PR dilihat seakan takut sekiranya Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik menjawat jawatan itu,” katanya.

Sementara Ketua Wanitanya, Zuraida Kamaruddin memberi amaran kepada pihak yang cuba memanipulasi PRK Dun Kajang sebagai sikap tamak PKR.

“Itu satu tuduhan yang melulu tanpa usul periksa dan seolah-olah tidak melihat kembali tindakannya pernah dilakukan ketika menjadi pemimpin negara dahulu.

“Jangan cuba campur tangan dalam keputusan PR kerana ini strategi yang terbaik dan mungkin menakutkan BN,” katanya.