• Irmohizam Ibrahim Irmohizam Ibrahim
1 / 1
SHAH ALAM - Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan penyelewengan diesel bersubsidi dan pengisytiharan palsu jumlah ikan yang didaratkan sesetengah nelayan di negara ini.
 
Pengerusinya, Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, dakwaan itu perlu dilihat secara serius dan tindakan tegas perlu diambil bagi memastikan subsidi diesel itu benar-benar digunakan oleh nelayan untuk menangkap ikan.
 
"LKIM telah meminta SPRM untuk masuk menyiasat sehingga ke akar umbi bagi menangani gejala ini (penyelewengan diesel bersubsidi)," katanya dalam satu kenyataan, semalam.
 
Irmohizam mengulas mengenai pendedahan oleh sebuah akhbar berbahasa Melayu mengenai penyelewengan bantuan tersebut dan pengisytiharan palsu jumlah ikan yang didaratkan yang dikatakan turut menyumbang kepada kenaikan harga ikan.

Menurut laporan itu, di satu lokasi di sebuah perkampungan nelayan, terdapat sindiket menyeleweng lebih 900,000 liter diesel yang bernilai kira-kira RM1.2 juta dalam tempoh lima bulan.
 
Selain menikmati diesel subsidi, mereka juga dikatakan membuat pengisytiharan palsu jumlah ikan yang didaratkan bagi mendapatkan insentif 10 sen bagi setiap kilogram.
 
Tambah Irmohizam lagi, pihaknya mahu kesemua pembekal minyak bersubsidi juga turut disiasat. - Bernama