•  Keputusan ketepikan Shafee diketahui 3 petang ini  
  • Peguam Pendakwaraya, Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah ditemui pemberita selepas mahkamah persekutuan, Putrajaya menangguhkan perbicaraan keputusan kes tersebut pada jam 3 petang ini. - Foto Sinar Harian Online oleh NIZAM ZAIN
1 / 1
PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan akan mengumumkan keputusan rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam cubaan kali keduanya untuk menggugurkan peguam, Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuan kes liwat membabitkan Ketua Pembangkang itu.

Sementara itu, peguam Ahli Parlimen Permatang Pauh itu, R. Sivarasa mempertahankan pendirian anak guamnya bahawa Muhammad Shafee tidak wajar mengetuai pasukan pendakwaan kes liwat II memandangkan kedudukannya mempunyai konflik kepentingan.

"Shafee pernah menjadi penasihat undang-undang ketika pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohammad menjadi perdana menteri dan mempunyai hubungan rapat dengan pemimpin Barisan Nasional.

"Shafee juga gagal mengemukakan bukti bersabit dakwaan ke atas afidavit yang dibentangkan oleh Tommy Thomas," katanya kepada pemberita selepas mahkamah persekutuan menangguhkan perbicaraan keputusan kes tersebut pada jam 3 petang ini.

Dalam pada itu, Shafee yang ditemui pemberita di luar kamar menafikan dakwaan mengatakan beliau akan menerima habuan besar jika terus mewakili pasukan pendakwaan kes liwat II tersebut.

Katanya beliau bertindak atas kapasiti profesional ketika menerima pelantikan daripada Peguam Negara, Tan Sri Ghani Patail untuk mewakili barisan pendakwaan kes liwat tersebut.

" Selagi tiada kepentingan kehendak, saya akan pertimbangkan, bahkan saya lebih mengenali Datuk Seri Anwar Ibrahim berbanding Tun Dr Mahathir, Datuk Seri Najib, Abdullah Badawi.

"Saya sangat profesional, dalam kes ini tiada konflik kehendak yang berkepentingan macam mana yang mereka katakan" katanya.