• Datuk Wee Ka Siong Datuk Wee Ka Siong
1 / 1
KAJANG – MCA menyifatkan keputusan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim yang mahu bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Dun Kajang sebagai mewakili suara-suara sumbang dalam PKR.

Menurut Timbalan Presiden MCA, Datuk Wee Ka Siong tindakan itu membuktikan wujud masalah dalaman PKR yang serius.

“Saya anggap hasrat Zaid Ibrahim untuk bertanding di Dun Kajang ini sebagai satu tindakan yang kononnya untuk melindungi Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar. Kalau beliau guna justifikasi ini, sudah tentunya beliau mewakili suara-suara sumbang dalam PKR.

“Beliau kini merupakan orang yang telah keluar dari parti yang hatinya masih bersama Khalid. Sudah tentu saya tak hairan kenapa beliau melakukan perkara ini kerana ia membuktikan bahawa masalah dalaman PKR sangat serius... menunjukkan bahawa PKR sudah sampai ke tahap yang perlu diubati,” katanya kepada Sinar Harian Online ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Bilik Gerakan Induk MCA PRK Dun Kajang, hari ini.

Menurutnya, tindakan Zaid Ibrahim memberi peluang kepada BN pada PRK Dun Kajang itu.

“Jadi, sama ada hasrat beliau akan menjejaskan peluang, saya rasa ia mungkin ada dua dimensi yang perlu kita lihat. Kalau Zaid dapat menarik undi daripada PKR dan bekas penyokong PKR, ia akan memberi peluang kepada kita.

Jadi, kita sama-sama tengok nanti. Saya yakin penyokong setia BN, sokong BN kerana selama ini kita telah memberi satu ‘track record’ yang cukup baik. Mereka (pengundi) juga saya rasa tidak boleh memaafkan seorang Adun yang menang dalam tempoh lapan bulan terus letak jawatan,” katanya.

Hari ini, Zaid Ibrahim mengesahkan keputusannya untuk bertanding dalam PRK Dun Kajang, bulan depan.