• Chua Jui Meng Chua Jui Meng
1 / 1
SHAH ALAM – PKR Johor mendesak Ketua Umno Bahagian Bakri, Datuk Saipolbahri Suib yang juga Adun Bukit Naning meletak jawatan selepas digantung keanggotaannya kerana terlibat dalam politik wang pada pemilihan parti November lalu.

Pengerusi PKR Johor, Datuk Chua Jui Meng berkata, pihaknya memandang serius isu tersebut dan akan membawa perkara tersebut kepada pihak berwajib.

“Saya rujuk laporan berita 10 Februari 2014 yang menyebut Datuk Saipolbahri Suib digantung keanggotaannya kerana terlibat dalam politik wang pada pemilihan parti November tahun lepas.

"Anggota PKR Johor telah diarah untuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak SPRM perlu menyiasat kes ini dengan teliti dan secepat mungkin,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Jui Meng, budaya politik wang yang disifatkan kronik itu perlu dibendung supaya ia tidak merebak ke dalam parti itu pula.

“ Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) yang dipengerusikan oleh Datuk Johari Abdul telah pun menggariskan panduan jelas demi memastikan budaya jelek ini tidak akan dipraktikkan dalam pemilihan parti yang akan diadakan tahun ini,” katanya.

Isnin lalu, laporan Bernama menyebut Badan Perhubungan Umno Johor mengesahkan Saipolbahri digantung keanggotaannya kerana terlibat dalam politik wang pada pemilihan parti November tahun lepas.

Penggantungan keanggotaan Saipolbahri disahkan oleh Setiausaha Badan Perhubungan Negeri Mohd Jais Sarday.

"Ya," katanya menerusi Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) apabila ditanya tentang kebenaran berita tersebut.

Mohd Jais yang juga Exco kanan kerajaan negeri bagaimanapun enggan mengulas lebih lanjut tentang tempoh penggantungan yang dikenakan terhadap Saipolbahri.

Setiausaha Kerja Badan Perhubungan Umno negeri, Ramlee Bohani pula ketika dihubungi turut enggan mengulas berkenaan isu penggantungan itu dan meminta supaya perkara itu dirujuk kepada Ibu pejabat Umno.

Empat lain yang turut digantung keanggotaan adalah Setiausaha Bahagian Mat Saad Amat, Ketua Penerangan Bahagian Yaacob Jamian, anggota Jawatankuasa Bahagian Uzir Sahid dan Naib Ketua Wanita Bahagian Safiah Siwon.