• Datuk Saifuddin Nasution Ismail Datuk Saifuddin Nasution Ismail
1 / 1
KAJANG - PKR menafikan dakwaan wujudnya surat peletakan jawatan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang akan ditandatanganinya bagi memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil laih jawatan itu.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail sebaliknya berkata, kewujudan surat itu hanya disifatkan tidak munasabah.

"Akhbar yang melaporkan itu adalah akhbar karut, tidak memetik daripada sumber sahih dan ada autoriti, tapi rujuk kepada sumber parti yang kita tidak tahu siapa orangnya.

"Walaupun akhbar itu memetik sumber tertinggi dan sebagainya, saya katakan semua itu karut. Sudah pasti sumber autoriti kita akan merujuk kepada Presiden, Ketua Umum, Timbalan Presiden, Naib Presiden dan pimpinan tertinggi parti," katanya ketika sidang media di sini, hari ini.

Hadir sama dalam sidang media itu, Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli, Pengerusi PKR Sarawak, Barubian, Pengerusi PKR Sabah, Datuk Lajim Ukin dan Adun Bukit Lanjan, Elizabeth Wong.

Terdahulu, sebuah media tempatan melaporkan Abdul Khalid enggan menandatangani surat peletakan jawatan yang disediakan oleh kepimpinan PKR.

Surat sulit itu didakwa merupakan sebahagian daripada pelan untuk memberi laluan kepada Anwar memimpin Selangor.

Berdasarkan laporan akhbar itu, surat bertarikh tersebut dibuat dengan jangkaan Anwar akan memenangi PRK Kajang dan menyertai Dun Selangor.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, PKR tidak akan mengendahkan laporan berita itu, sebaliknya akan memberi fokus kepada kemenangan Dun Kajang.

 "Jika akhbar itu mahu mereka cipta benda (berita) karut itu, kita tiada kawalan ke atas mereka. Cuma kita bersimpati dengan apa yang dibuat oleh akhbar itu.

"Tumpuan kita adalah untuk kemenangan di Dun Kajang dan menghantar Anwar ke Dun Selangor serta mengukuhkan Selangor sebagai platform negeri di bawah PR ke arah melonjakkan lagi peluang PR mengambil alih Putrajaya dengan objektif yang lebih jelas," katanya.