Saturday, February 8, 2014
Langkah Bijak Dari PAS
Sejukkan suasana dari kehangatan ciptaan golongan yang sukakan kacau bilau dengan provokasi melampau.....
Di sebalik provokasi kaum musuh politik, PAS turun padang jelas isu sebenar
Pembantah
menggunakan penyapu untuk mencalitkan darah ayam di kertas rentang
dengan potret pemimpin DAP, ketika protes terhadap kepimpinan Melayu,
Sultan Malaysia dan orang Islam di Malaysia, di Kuala Lumpur, 6
Februari, 2014. – Gambar The Malaysian Insider, 8 Februari, 2014.
Pada ketika
kumpulan ekstremis Melayu cuba membangkitkan ketegangan kaum, parti
Islam PAS turun ke padang, mengingatkan rakyat Malaysia agar memberi
tumpuan kepada isu sebenar yang menghambat kehidupan mereka, seperti
gaji rendah dan kenaikan kos kehidupan.
Parti itu
melancarkan kempen bergelar 'Turun', bertujuan untuk menghimpunkan
rakyat seluruh negara bagi memberikan tekanan kepada pentadbiran Barisan
Nasional (BN) agar bertanggungjawab atas kenaikan kos kehidupan.
Ketua
Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) mengatakan kempen 'Turun'
akan menyaksikan jelajah dan perhimpunan di seluruh negara, sehinggalah
perhimpunan besar-besaran 1 Mei yang melibatkan parti Pakatan Rakyat
(PR) di Kuala Lumpur.
Ia juga dilihat
sebagai usaha meluaskan sokongan parti itu di kalangan Melayu-Islam di
kawasan pedalaman, dan kelas pekerja yang secara tradisinya merupakan
penyokong kuat Umno.Kempen nasional itu merupakan salah satu daripada
usaha PAS menyedarkan rakyat agar memberikan tumpuan kepada kesan polisi
ekonomi Putrajaya melalui penyelasaran subsidi.
"Isu
peningkatan kos barangan sentiasa ada. Ia tidak akan hilang," kata
Mahfuz apabila ditanya sama ada isu ketegangan kaum dan agama
menyebabkan orang ramai terlupa kebimbangan tentang inflasi.
"Tapi sudah
tentu media arus perdana akan cuba memainkan isu perkauman untuk menutup
masalah ini. Jadi kita akan jelajah seluruh negara untuk mengingatkan
rakyat," kata Mahfuz apabila ditemui selepas pelancaran 'Turun' di Desa
Pandan, Kuala Lumpur malam tadi.
Pemimpin PAS
yang ditemui juga mengakui kempen tersebut diadakan bagi melawan taktik
menakut-nakutkan rakyat yang dimainkan oleh kumpulan pro-Umno terhadap
orang Melayu-Islam.
"Ini permainan Umno," kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dalam ucapannya semasa pelancaran kempen.
"Apabila rakyat mula marah dengan keadaan semasa, mereka mula mainkan isu perkauman."
Kenaikan harga
barangan dan perkhidmatan adalah hasil daripada pemotongan subsidi
petrol dan gula tahun lepas, serta kenaikan tarif elektrik yang bermula
tahun ini.
Insiden provokasi kaum dan agama sejak beberapa bulan lalu dilihat sebagai usaha untuk menutup isu peningkatan inflasi.
Kemarahan awam
terhadap peningkatan kos kehidupan bermula akhir tahun lalu, apabila
lebih kurang 10,000 rakyat yang majoritinya anak-anak muda membanjiri
Dataran Merdeka semasa sambutan ambang Tahun Baru untuk menyatakan
bantahan mereka.
Selepas
beberapa hari isu itu menghiasi dada akhbar, perhatian beralih kepada
tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) merampas lebih 300 Bible
berbahasa Melayu dan Iban dari Persatuan Bible Malaysia di Petaling
Jaya.
Jais mengatakan
rampasan itu merupakan sebahagian daripada usaha mereka menguatkuasakan
enakmen 1988 yang mengharamkan penggunaan kalimah Allah bagi bukan
Islam.
Penentangan
terhadap rampasan Injil oleh kumpulan badan bukan kerajaan (NGO) dibalas
dengan ugutan dari kumpulan ekstremis Melayu yang mengugut untuk
mengadakan bantahan di gereja yang menggunakan kalimah Allah dalam
upacara keagamaan mereka.
Tidak lama
selepas itu, tumpuan awam beralih kembali kepada isu inflasi apabila
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menggunakan 'kangkung' sebagai
contoh harga barang turun dalam ucapannya.
Akan tetapi
'flashmob' berhubung isu kangkung oleh Ahli Dewan Undangan Negeri
(Adun) PKR, Lee Khai Loon di Pulau Pinang menyebabkan Umno negeri dan
kumpulan Melayu lain mengadakan bantahan balas menggunakan retorik
perkauman.
Perkara ini
meleret sehingga sebuah gereja di Pulau Pinang diserang dengan bom
koktel Molotov selepas kain rentang provokasi di gantung untuk
membangkitkan kemarahan umat Islam.
Terbaru, sebuah
bantahan diadakan di Kuala Lumpur menentang ahli Parlimen DAP Teresa
Kok, berhubung video Tahun Baru Cina yang dikatakan menghina Melayu.
Dua ekor ayam disembelih dan darahnya dilumurkan di atas gambar wajah pemimpin Cina pembangkang dari DAP dan PKR.
Penganjur juga
menawarkan RM500 kepada sesiapa yang berjaya menampar Kok atas video
'Onederful Malaysia CNY 2014' itu, dan kini tawaran dinaikkan kepada
RM1,200 pada sebelah malamnya.
Walaupun
insiden tersebut mendapat perhatian media, Ketua Pemuda PAS Titiwangsa,
Mohd Suhaimi Abdul Aziz percaya kesannya hanya sedikit terhadap
kehidupan seharian Melayu-Islam.
"Apabila kita
turun ke bawah bertemu orang ramai, mereka hanya bercakap tentang
peningkatan harga barangan. Terutamanya yang tinggal di bandar. Mereka
tidak terpengaruh dengan provokasi sebegini.
"Kami akui
perkara ini akan mempengaruhi sesetengah pihak, terutamanya golongan
tua. Akan tetapi majoriti sedar semua ini hanyalah permainan politik,"
kata Mohd Suhaimi apabila ditemui.
Apa yang
kumpulan ekstremis pro-Umno tidak sedar, kata Mahfuz, walaupun pelbagai
provokasi dicetuskan, majoriti rakyat Malaysia tetap tenang dan tiada
rusuhan berlaku.
"Saya fikir
rakyat Malaysia sudah lebih matang daripada yang kita fikirkan. Sudah
berlaku terlalu banyak insiden, akan tetapi rakyat tidak
mempedulikannya."
Mohd Suhaimi
menyokong ini berdasarkan pemerhatiannya tentang bagaimana kehidupan
dalam masyarakat pelbagai etnik berjaya mencorakkan pandangan dunia unik
majoriti rakyat Malaysia, terutamanya yang tinggal di bandar.
"Rakyat di
bandar sudah menerima masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.
Mereka lebih mementingkan keharmonian antara komuniti dan menolak
perpecahan. Provokasi kaum tidak memberi kesan kepada mereka." – 8
Februari, 2014.



0 orang berkata:
Post a Comment