Thursday, February 6, 2014
Memori 5 tahun rampasan kuasa di Perak
Tarikh
5 Februari 2009 diingati kerana berlakunya rampasan kuasa oleh Barisan
Nasional (BN) terhadap kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Perak. Pada tarikh
tersebut, Najib dengan megahnya di Putrajaya dalam satu sidang akhbar
mengumumkan 3 orang Adun PR meninggalkan PR menjadi Bebas dan menyokong
BN dan kerajaan PR pimpinan saya hilang majoriti serta tumbang.
Sebenarnya
usaha merampas kerajaan di buat oleh kerajaan BN dari Putrajaya bermula
dari hari pertama PR menerajui kerajaan Perak dengan membuat berbagai
tawaran kepada Adun-Adun PR untuk melompat dan tinggalkan PR.
Mulanya
saya ditawar jawatan Menteri Besar (MB), kemudian 4 jawatan Exco di
peruntukan kepada PAS dengan syarat kami menyertai UMNO. Mereka
menggunakan Mufti Perak, Pegawai Pembangunan Perak, abang saya Dato
Ikram Jamaluddin untuk memujuk saya menyertai Umno bermula pada malam 8
Mac 2008. Kesemua tawaran ini kami tolak. Akhirnya mereka cuba
mempengaruhi Pesuruhjaya PAS ketika itu AF Ustaz Ahmad Awang untuk
memaksa 6 orang Adun PAS menyertai Umno, tetapi gagal. Mufti Perak di
peralatkan untuk bertemu dengan TG Nik Aziz dan TG Haji Hadi Awang bagi
tujuan sama tapi juga gagal.
Disebaliknya pula, PAS Perak di ketuai oleh Haji Asmuni Awi, Ustaz Ahmad Awang dan Dr Khairuddin telah berbincang dengan pimpinan DAP dan PKR Perak bagi menubuhkan PR Perak.
Boleh
dikatakan PR telah tertubuh buat pertama kalinya di Perak. Mulai hari
pertama sehingga 5 Februari 2009, berbagai usaha dan cara dibuat oleh
Umno/BN Negeri dan Putrajaya bagi mengganggu perjalanan kerajaan PR
Perak. Keputusan kerajaan di sabotaj, arahan serta kelulusan tidak
dilaksana bahkan arahan bercanggah di buat oleh Setiausaha Sulit (SS)
kerajaan Negeri untuk mengkucar kacirkan serta menghuru harakan
pentadbiran kerajaan negeri. Usaha menyusun semula pentadbiran kerajaan
terbantut serta terlengah akibat di sabotaj dengan menggunakan kuasa SS.
Dalam
masa sama setiap Adun PR dari DAP dan PKR masih di beri tawaran lumayan
untuk melompat sehingga akhirnya mereka berjaya dengan kerjasama BPR
ketika itu memerangkap Adun Behrang dan Changkat Jering dengan cara yg
tidak bermaruah, sogokan dan suapan, rakaman vcd, ugutan dan menyamar
sebagai kontraktor oleh BPR yg akhirnya berjaya mengena kepada Adun
Behrang dan Changkat Jering. Adun DAP dari Jelapang juga berjaya dihasut
untuk keluar dan ketiga-tiga mereka hilang di culik pada akhir bulan
Januari 2009.
Usaha
menghubungi mereka dalam tempoh seminggu gagal sampailah pada tarikh 5
Februari 2009, bila mana ketiga-tiga mereka menjelma di corong TV jam 5
petang bersama Najib dan beberapa menteri kanan Umno di Putrajaya, bagi
mengisytiharkan mereka bertiga keluar PR dan menjadi Adun bebas
menyebelahi BN. Najib mengumumkan MB haram BN yg baru, Zambry Abdul
Kadir pada 6 Februari 2009 serta beliau mengangkat sumpah di Istana
Iskandariah pada hari Jumaat petang, 6 Februari 2009 disertai
demonstrasi besar-besaran di Bukit Chandan selepas solat Jumaat.
Bila
3 Adun daripada Jelapang, Behrang dan Changkat Jering hilang dan gagal
di hubungi, maka dengan persetujuan pimpinan PR Perak dan Pusat, saya
telahmenghantar sepucuk surat bertarikh 4 Februari 2009, memohon
perkenan Sultan untuk membubarkan 59 Dewan Undangan Negeri Perak untuk
rakyat Perak memilih semula kerajaan baru, oleh kerana kedudukan
politik Perak yang tidak stabil dan tidak menentu, tetapi malangnya
permohonan saya di tolak oleh Tuanku Sultan. Saya dititah mengadap
Tuanku Sultan pada jam 1.30 tengahari pada 5 Februari 2009.
Disaat
berdepan dengan Tuanku Sultan di Istana Kinta, Ipoh, saya diberitahu
berkenaan pertemuan Najib dengan Baginda Sultan serta 3 orang bekas
Adun PR dan 28 Adun BN yg mengadapTuanku membuat akujanji.
Setelah
saya dengar dengan teliti penerangan dari Tuanku Sultan, maka saya
memohon untuk memberi penjelasan dan penerangan kepada Tuanku Sultan.
Tuanku membenarkan saya berhujah selama 15 minit dengan saya
nengemukakan 11 perkara berserta rayuan dan ikhtiar terakhir bagi
menyelamatkan kerajaan PR Perak.
Setelah Tuanku mendengar kesemua hujahan saya, maka tuanku menitahkan agar saya mesti meletak jawatan sebagai Menteri Besar.
Mendengarkan
titah Tuanku tersebut, maka sekonyong konyong saya mengeluarkan
ungkapan keramat yang masyhur yang di putar belit oleh Umno, ia itu
"Ampun Tuanku beribu ribu ampun sembah patik pohon diampun, patik pohon
sembah durhaka Tuanku".
Bilamana
Tuanku mendengar respon saya untuk enggan meletakkan jawatan, terus
Tuanku bangun dan beredar. Saya keluar dan sebelum meninggalkan istana,
sempat saya menegur penasihat undang-undang, Dato Kamal Sahid dan saya
berkata kepadanya, "Dato bertanggungjawab dunia akhirat dengan apa
yang terjadi di negeri Perak sekarang".
Maka
bermulalah krisis di Perak apabila saya enggan meletak jawatan sebagai
MB. Pada 6 Februari 2009, saya masih ke pejabat tapi dihalau keluar oleh
SS dari bangunan SUK. Zambry mengangkat sumpah sebagai MB haram di
tengah-tengah rakyat yang berdemonstrasi di hadapan Masjid Ubudiah,
Kuala Kangsar.
Pada
13 Februari 2009, saya telah membuat filing di Mahkamah Tinggi Kuala
Lumpur untuk judicial review bagimendapatkan perisytiharan mahkamah
bahawa saya adalah Menteri Besar yang sah dan menghalang Zambry dari
menyamar sebagai MB dan seterusnya melaksanakan urusan MB.
Setelah
hampir 3 bulan terlibat dalam perbicaraan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur
dan Mahkamah Persekutuan, Putrajaya, akhirnya hakim Mahkamah Tinggi
Kuala Lumpur Yang Arif Abdul Aziz Rahim memutuskan bahawa disetiap
ketika material Nizar adalah Menteri Besar yang sah.
Pada
12 Mei 2009, saya dan exco PR masuk ke pejabat MB dan terus adakan
mesyuarat dengan pegawai-pegawai di pejabat, kemudian bergegas ke
Istana Iskandariah di Kuala Kangsar bagi menghadiri majlis
penganugerahan bintang kehormat. Balik semula ke pejabat jam 2 petang,
kemudian di arah oleh SS kosongkan pejabat dan keluar kerana Zambry
dapat perintah Mahkamah Rayuan bahawa keputusan Mahkamah Tinggi Kuala
Lumpur semalam telah diketepikan oleh hanya seorang Hakim iaitu Dato
Ramli Ali. 3 bulan perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur
dipunahkan dengan arahan 5 minit sahaja dari Hakim Dato Ramli Ali untuk
diketepikan dan tiada apa-apa sebab bertulis yang diberikan.
Kami hanya berada di pejabat MB selama 18 jam sahaja sebelum dirampas semula oleh BN menggunakan Mahkamah Rayuan.
Maka
saya buat rayuan ke Mahkamah Persekutuan dan diterima oleh Mahkamah
Persekutuan (leave granted) pada 9 Julai 2009. Saya mohon jemaah 11
orang hakim bagi mendengar dan mengadili kes ini. Namun ditolak tinggal
5. Saya telah ulang alik ke Mahkamah Persekutuan di Putrajaya
sehinggalah keputusan dibuat pada 9 Februari 2010 yang menolak saya dan
mengangkat Zambry sebagai MB haram semula.
Kesimpulanya
ialah krisis politik di negeri Perak menyaksikan beberapa kepincangan
yg dilakukan oleh Umno dan BN Negeri dan Putrajaya bagi merampas
kerajaan yang dipilih rakyat.
Umno
terpaksa rampas dengan cara yang zalim sehingga memaksa Speaker
diseret keluar dewan, menggunakan Perkasa dan NGO yang lain untuk
menahan Adun PR daripada bersidangdi dewan kerana jika mereka lambat
bertindak maka kerajaan PR Perak akan lebih mantap, kukuh dan sukar di
ambil semula seperti Kelantan dan Pulau Pinang.
Umno
menggunakan semua ajensi kerajaan bagi membantu mereka merampas
kerajaan seperti PDRM, institusi kehakiman, BPR (sekarang ini SPRM),
Istana, Mufti, SPR, NGO luar, dan lain-lain semata-mata untuk menafikan
hak rakyat kepada kerajaan yang mereka pilih iaitu Pakatan Rakyat.
Makanya,
Umno akan buat apa saja bagi meneruskan kerajaan mereka walaupun
menyalahi perlembagaan negeri dan persekutuan, melanggar peraturan dan
peradaban demokrasi, termasuklah menggunakan kekerasan melalui PDRM.
Oleh
itu Umno akan bertindak zalim dan lebih dahsyat dari apa yang kita
fikirkan. Mereka hanya bermain wayang dengan berlagak sopan dan elok
tetapi Umno juga mampu bertindak amat zalim jika mereka hilang kuasa.
Janganlah ada walau sekelumit niat untuk berbaik-baik atau berhajat hati untuk bersama dengan Umno. Wala tarkanuu illalazina zolamuu fatamasaa kumunnar,
jangan sesekali kamu cenderung kepada mereka yg melakukan kezaliman,
kelak kamu akan di sambar api neraka. Namun perancangan Allah jauh
mengatasi perancangan dan muslihat manusia, sejarah akan pasti berulang
dan Umno dan BN Perak , inshaAllah pasti akan tumbang sedikit masa lagi
kerana perbuatan jahat dan zalim mereka. Allah cuma menguji sedikit
kesabaran kita untuk melihat siapa yg ikhlas dan tulen sifat mereka
dalam memperjuangkan serta menegakkan kalimahNYA di Perak dan bumi
Malaysia yang tercinta ini.
Semoga episod rampasan kuasa ini dijadikan iktibar dan pengajaran buat kita semua agar ianya tidak berulang lagi.
Dato' Seri Nizar Jamaluddin
Pengerusi Pakatan Rakyat Perak



0 orang berkata:
Post a Comment