• Tun Dr Mahathir semasa Majlis pelancaran buku TPPA: Malaysia is not for Sale di Kumpulan Media Karangkraf semalam.  - Foto Sinar Harian oleh ROSLI TAIB

Tun Dr Mahathir semasa Majlis pelancaran buku TPPA: Malaysia is not for Sale di Kumpulan Media Karangkraf semalam. - Foto Sinar Harian oleh ROSLI TAIB
1 / 1
SHAH ALAM - Sesiapa pun boleh menghulurkan bantuan serendah RM1 kepada penduduk Gaza, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir.

Dr Mahathir, yang juga Presiden Yayasan Keamanan Sedunia Perdana (PGPF) berkata, pihaknya mahu menggalakkan orang ramai yang prihatin kepada nasib umat Islam di Palestin memberi sumbangan tanpa mengira nilainya.

"Siapa saja boleh menderma kepada tabung ini sama ada melalui perbankan internet atau akaun bank tabung itu.

"RM1..RM2...RM3..atau RM10 pun kita terima, kita tidak mahu syarikat sahaja sumbang, orang ramai kalau ada simpati tak banyak RM1 pun tak apa," katanya kepada pemberita di Kumpulan Media Karangkraf (Karangkraf), di sini, semalam.

Beliau menambah, sehingga kini pihaknya telah berjaya mengumpul sumbangan RM500,000 dan ia akan digunakan untuk membeli bekalan perubatan sebelum dihantar ke Gaza.

"Ramai penduduk Palestin yang cedera yang memerlukan bantuan perubatan dan dengan wang ini kita boleh beli ubat tapi kalau hendak hantar dari sini (Malaysia) bermacam sekatan.

"Kita akan hantar melalui negara jiran (Mesir) dan itu pun terpulang kepada mereka untuk membenarkan bekalan perubatan itu dibawa masuk ke sana," katanya lagi.